Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila dolar AS mengukuh di tengah-tengah keyakinan baharu bahawa AS dan China mungkin mencapai persetujuan dalam perjanjian perdagangan tidak lama lagi, kata seorang pakar ekonomi.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2280/2315 berbanding dolar AS daripada 4.2240/2275 ketika ditutup pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertemuan yang dijadualkan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan minggu depan menjadi tumpuan utama dalam kalangan pelabur.
“Setakat ini, Presiden Trump telah menyatakan bahawa pentadbirannya menyasarkan untuk mencapai kesepakatan yang adil dengan China, menunjukkan ia bakal menyaksikan hasil perdagangan yang lebih baik.
“Perkembangan seperti ini dilihat akan memberi kesan positif kepada dolar buat masa ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ringgit akan berlegar sekitar RM4.2200 hingga RM4.2288 berbanding dolar AS hari ini, berikutan prestasi dolar AS secara umumnya lebih kukuh.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6592/6639 daripada 5.6741/6788, menokok berbanding euro kepada 4.9134/9174 daripada 4.9421/9462, dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.7851/7875 daripada 2.8218/8244 ketika ditutup pada Jumaat.
Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.2598/2628 daripada 3.2635/2665, dan mengukuh berbanding baht Thai kepada 12.9048/9218 daripada 12.9301/9471, sebelumnya.
Bagaimanapun, ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 254.8/255.2 daripada 254.6/254.9, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.26/7.27 ketika ditutup minggu lepas.
-- BERNAMA