KOTA TINGGI, 22 Okt (Bernama) -- Dua individu maut selepas kereta dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di Jalan Tanjung Balau menuju Sedili berhampiran kawasan kebun kelapa sawit di sini, awal pagi ini.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Faizal Ahmad dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.48 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi pada 4.58 pagi, didapati sebuah kereta jenis Toyota Vios telah terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbakar hampir 93 peratus.
“Terdapat dua mangsa, seorang lelaki berusia 21 tahun dan seorang lagi dipercayai wanita dewasa, telah terperangkap di dalam kenderaan terbabit dan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.11 pagi dan kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 4.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dipandu Muhammad Daniel Saberi, 21, bersama penumpang hadapan Aiza Nur Elysha Sabri, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah serta terbakar di seluruh anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan berasingan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa terbabas akibat hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok kelapa sawit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan polis menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi undang-undang bagi menjamin keselamatan bersama.
-- BERNAMA