GEORGE TOWN, 24 Okt (Bernama) -- Hujan lebat mengakibatkan berlaku pergerakan tanah hingga berlaku runtuhan tanah dan air selut di kawasan Bukit Paya Terubong di Tingkat, Paya Terubong 4 di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata kejadian kira-kira 2.41 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
"Kejadian tanah runtuh itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat tengah hari tadi dan ia menyebabkan tanah yang berada di puncak bukit iaitu kira-kira 100 meter mengelongsor bersama air selut.
"Kejadian itu telah menyebabkan tanah dan air turun memenuhi kawasan parkir sebuah perumahan di situ serta ia diburukkan lagi dengan hujan lebat hingga berlaku limpahan air di jalan raya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pemantauan awal di lokasi kejadian mendapati ia merupakan kejadian tanah runtuh berskala sederhana dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuat penilaian awal di kawasan tersebut.
Mohd Shoki berkata pemantauan juga mendapati 12 kenderaan berada di lokasi kejadian dan pihak bomba telah memberi khidmat nasihat serta membantu pemilik mengalihkan kenderaan mereka ke tempat lebih selamat.
"Seterusnya, PKO memasang sawar-sawar di lokasi kawasan terlibat bagi mengelakkan sebarang insiden dan kami juga menasihati penduduk agar berhati-hati dan sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa jika diarah berpindah, " katanya, sambil menambah bomba melaksanakan pemerhatian berterusan di kawasan terbabit kerana hujan masih berterusan.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan tanah dan air selut turun di kawasan Bukit Paya Terubong hingga melimpahi parkir di situ malah hujan lebat turut menyebabkan jalan raya dinaiki air.
-- BERNAMA