Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 22 Okt (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra meletak jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai pada Rabu bagi memberi laluan kepada reformasi parti menjelang pilihan raya umum tahun depan.
Paetongtarn, 39, berkata keputusannya untuk berundur adalah selaras dengan pengumumannya pada 7 Okt lalu untuk membawa visi baharu dan perubahan sebenar kepada rakyat.
“Hari ini, saya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai dengan niat memulakan reformasi parti secara menyeluruh,” katanya pada satu mesyuarat di ibu pejabat parti berkenaan pada Rabu.
Beliau juga berkata bahawa sebagai satu daripada parti politik utama negara, Pheu Thai perlu melalui transformasi besar termasuk merombak struktur, proses dan cara berfikir bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang serta meremajakan dan membangunkan negara.
“Kita kini hidup dalam era di mana masyarakat global semakin rapuh, kompleks, sensitif dan sukar dijangka. Thailand sedang memasuki fasa peralihan yang amat kritikal.
“Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, saya yakin pembaharuan Parti Pheu Thai mesti dimulakan tanpa berlengah.
"Oleh itu, saya memilih untuk berundur sebagai ketua parti bagi memberi kebebasan kepada parti untuk melakukan pembaharuan dan membina Pheu Thai yang lebih kukuh serta lengkap,” katanya.
Paetongtarn mengesahkan beliau akan kekal sebagai ahli Parti Pheu Thai dan terus berkhidmat untuk parti serta rakyat Thailand.
Parti itu setakat ini belum mengumumkan pengganti beliau.
Paetongtarn, anak perempuan bongsu kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan anak saudara kepada bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, dilantik sebagai ketua parti pada 2023.
Pada April 2023, beliau secara rasmi dinamakan sebagai seorang daripada tiga calon perdana menteri Parti Pheu Thai bagi pilihan raya umum, bersama Srettha Thavisin dan Chaikasem Nitisiri.
Selepas Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Srettha Thavisin daripada jawatan perdana menteri pada 14 Ogos 2024, Parti Pheu Thai mencalonkan Paetongtarn untuk menggantikannya.
Beliau memperoleh majoriti undi di Parlimen pada 16 Ogos 2024 dan secara rasmi mengangkat sumpah dua hari kemudian, menjadikannya Perdana Menteri ke-31 Thailand — dan yang termuda dalam sejarah negara itu.
Namun, pada 29 Ogos tahun ini, jawatannya sebagai perdana menteri dilucutkan oleh Mahkamah Perlembagaan selepas beliau didapati bersalah melanggar etika selepas kebocoran perbualan telefon dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen.
-- BERNAMA