EKONOMI

Hubungan ASEAN-AS Lakar Kemajuan, ART Diyakini Dimeterai Pada Sidang Kemuncak Ke-47

22/10/2025 03:58 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) melakarkan kemajuan yang baik dalam hubungan dua hala, dibuktikan dengan pengesahan kehadiran Presiden AS Donald Trump di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kedua-dua pihak juga dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi menerusi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perjanjian itu akan membawa manfaat timbal balas kepada ASEAN dan AS dengan melengkapkan kelebihan antara satu sama lain, di samping mengukuhkan lagi blok ekonomi ASEAN yang menaungi lebih 600 juta penduduk.

“Kita kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan ART. Saya berpandangan AS sedang berbincang dengan beberapa negara ASEAN untuk memuktamadkannya. Harapan dan matlamatnya adalah supaya perjanjian ini dimeterai oleh kedua-dua pemimpin semasa sidang kemuncak ini.

“Bagi ASEAN, kita mahu membuktikan kepada AS, terutama pentadbiran Trump, bahawa kita bekerjasama dengan semua pihak, termasuk AS dan yang lebih penting, ASEAN boleh menjadi rakan kepada semua negara termasuk AS,” katanya dalam temu bual secara berkumpulan bertemakan How ASEAN's economic prosperity supports regional political stability di sini, hari ini.

Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Oktober.

Menurut laporan, Malaysia dan AS dijangkakan menandatangani perjanjian tarif timbal balas pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, dengan beberapa sektor diunjurkan meraih manfaat, termasuk pertanian, perindustrian dan pembuatan, serta perniagaan yang terlibat dalam perdagangan dan pelaburan dengan AS.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, perdagangan antara Malaysia dan AS mengekalkan prestasi kukuh, apabila meningkat 15.4 peratus kepada RM270.88 bilion.

Eksport meningkat 18.2 peratus kepada RM166.38 bilion, didorong oleh peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan diproses.

Import dari AS pula menokok 11.2 peratus kepada RM104.50 bilion.

ART, yang berfungsi sebagai rangka kerja ikatan bagi kerjasama ekonomi dua hala masa depan, merangkumi enam bidang utama iaitu tarif dan kuota, halangan bukan tarif, perdagangan digital dan teknologi, peraturan tempasal, ekonomi dan keselamatan negara serta pertimbangan komersial.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata ASEAN menyasar untuk melengkapkan AS dan bukannya bersaing, dengan memperkukuh dan menyokong rantaian bekalan AS.

“Sebagai contoh, dalam bidang semikonduktor, banyak negara ASEAN adalah penggiat utama. Inilah bahagian yang amat penting bagi rantaian bekalan mereka.

“Bukan kita mengambil alih rantaian bekalan, tetapi rantaian bekalan itu telah memperkukuh rantaian bekalan AS itu sendiri. Jadi kita perlu menunjukkan kesalinglengkapan, ekonomi ASEAN dan AS,” katanya.

Perdagangan barangan ASEAN dengan AS mencecah US$476.8 bilion (US$1 = RM4.22) pada 2024.

Eksport barangan AS ke ASEAN dianggarkan bernilai US$124.6 bilion, manakala import dari rantau ini berjumlah US$352.3 bilion.

Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kepengerusian ASEAN 2025 mulai 1 Jan, 2025.

Filipina akan mengambil alih sebagai pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481511