SUKAN

Kategori Wanita, Veteran Dipertandingkan Pada Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah

22/10/2025 04:30 PM

PETALING JAYA, 22 Okt (Bernama) -- Dua kategori baharu iaitu wanita dan veteran bawah 40 tahun akan diperkenalkan pada edisi ke-52 Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (C10s) 2025, yang berlangsung di Padang Astaka dari 1 hingga 2 Nov ini.

Presiden Kelab Ragbi Cobra Darryll Sinnappa berkata pengenalan dua kategori baharu itu mencerminkan komitmen pihaknya terhadap keterangkuman, kepelbagaian dan penyertaan sepanjang hayat dalam sukan itu.

“Sebab utama kami memperkenalkan kategori baharu ini adalah kerana kami melihat minat yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan wanita. Kami percaya kepelbagaian amat penting dalam sukan ragbi.

“Jadi, kami memutuskan untuk menjadikan C10s sebagai model festival ragbi yang menawarkan kejohanan menyeluruh merangkumi kategori veteran, wanita, lelaki elit dan remaja,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Darryll berkata sebanyak 12 pasukan dari tujuh negara termasuk Malaysia, United Kingdom, Australia, New Zealand, Samoa, Papua New Guinea dan Afrika Selatan akan bersaing dalam kategori pasukan elit lelaki.

Beliau berkata selain Kelab Ragbi Cobra, pasukan lain yang mewakili Malaysia ialah KL Tigers, SSTMI Tsunami, MPSJ Knight, Royal Town Warriors dan KRAS Rugby.

“Penyertaan mereka menyerlahkan prestij serta tahap kompetitif Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481537