DUNIA

ICJ Putuskan Israel Wajib Bantu Operasi Palang Merah Dan Negara Ketiga Di Gaza

23/10/2025 02:32 PM

ISTANBUL, 23 Okt (Bernama-Anadolu) -- Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pada Rabu bahawa Israel diwajibkan di bawah Konvensyen Geneva untuk bersetuju dan memudahkan skim bantuan yang disediakan oleh negara ketiga dan kumpulan kemanusiaan yang tidak berat sebelah, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut ICJ, skim bantuan ini termasuk Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), bagi memastikan bantuan yang mencukupi sampai ke Semenanjung Gaza.

Dalam pendapat terperinci yang dikeluarkan, mahkamah dunia itu menekankan bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan, memikul kewajipan tanpa syarat untuk memastikan keperluan asas penduduk tempatan dipenuhi.

Ia mendapati bahawa penduduk Gaza telah "tidak dibekalkan secara memadai" di bawah Perkara 59 Konvensyen Geneva Keempat, dan oleh itu Israel mesti membenarkan dan membantu operasi bantuan kemanusiaan.

Mahkamah itu menyatakan bahawa selepas peristiwa 7 Okt 2023, Israel telah membunuh lebih 68,000 orang dalam tempoh dua tahun berikutnya dan mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan bantuan, termasuk menyekat penghantaran bekalan kemanusiaan dan perubatan bermula 2 Mac, serta hanya membenarkan kemasukan terhad mulai 19 Mei.

Menolak dakwaan Israel bahawa kakitangan UNRWA mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata, mahkamah menyatakan bahawa “Israel tidak mengemukakan bukti kukuh bahawa sebahagian besar kakitangan UNRWA adalah ahli Hamas” atau apa yang disebutnya sebagai “kumpulan pengganas lain.”

Mahkamah turut mendapati tiada bukti bahawa UNRWA mendiskriminasi dalam pengagihan bantuan berdasarkan kewarganegaraan, kaum, agama atau pandangan politik.

“Kuasa pendudukan tidak boleh sama sekali menggunakan alasan keselamatan untuk membenarkan penggantungan umum terhadap semua aktiviti kemanusiaan di wilayah yang diduduki,” kata mahkamah, sambil menegaskan bahawa kewajipan Israel untuk memudahkan bantuan adalah “tanpa syarat.”

Mahkamah itu turut menegaskan semula bahawa undang-undang pendudukan terpakai bersama undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang mengawal konflik bersenjata, dan Israel mesti mematuhi kedua-dua set kewajipan tersebut.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481955