KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Mahkamah Syariah Negeri Sabah akan melaksanakan Sistem Paparan Pengurusan (MDS) iaitu sistem giliran digital mulai tahun hadapan sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital kehakiman syariah bagi melancarkan perkhidmatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bagaimanapun berkata pelaksanaan inisiatif itu tertakluk kepada kelulusan peruntukan.
“Pelaksanaan inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan dengan memastikan operasi pentadbiran di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, teratur, efisien serta selaras dengan aspirasi meningkatkan mutu perkhidmatan kehakiman syariah di Sabah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang ingin mengetahui langkah kerajaan dalam membantu Mahkamah Syariah Negeri Sabah menangani kelewatan penyelesaian 7,466 kes tuntutan waris dan harta pusaka di lima Mahkamah Tinggi Syariah (2020-2023) termasuk usaha penambahan hakim dan penggunaan sistem digital memandangkan kelewatan penyelesaian kes.
Mohd Na'im berkata sejak 2020 hingga 2023, sebanyak 10,959 kes permohonan pembahagian harta pusaka dan pelantikan pentadbir telah direkodkan di Mahkamah Syariah Negeri Sabah, dengan 93.91 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
Mohd Na’im berkata selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan perkhidmatan kehakiman syariah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan telah meluluskan 28 jawatan baharu merangkumi jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah (Kanan) di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah, menjadikan bilangan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah meningkat kepada enam.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai isu pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, Mohd Na’im berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk meminda peruntukan undang-undang sedia ada bagi membolehkan kes pusaka masyarakat Islam diselesaikan sepenuhnya di Mahkamah Syariah.
Beliau berkata menerusi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan dana tambahan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi menaik taraf sistem e-Syariah serta kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di seluruh negara, bagi mempercepatkan proses digitalisasi Mahkamah Syariah.
-- BERNAMA