JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada Bukti Najib Pernah Jejak Kaki Ke AmIslamic Bank Atau Guna Pengaruh - Pembelaan

22/10/2025 05:49 PM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Tiada bukti bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menggunakan pengaruhnya atau menjejakkan kaki ke cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur seperti yang dinyatakan dalam empat pertuduhan terhadap beliau, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili Najib, berhujah pendakwaan gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan bekas Perdana Menteri itu pernah berada di premis tersebut atau menggunakan kedudukan dan pengaruh beliau di bank berkenaan malah tiada saksi dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

"Ketidakpuasan hati pihak pembelaan terhadap kesemua pertuduhan bukan disebabkan ketiadaan butiran seperti masa atau kesalahan sebaliknya kerana setiap pertuduhan mengandungi tarikh, lokasi dan pelbagai kesalahan yang didakwa telah dilakukan secara serentak.

"Inilah definisi sebenar pertuduhan bertindih yang secara konsisten dianggap oleh mahkamah-mahkamah di negara ini sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan tidak dapat diselamatkan," katanya ketika berhujah pada perbicaraan Najib yang berdepan pertuduhan menyeleweng dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.

Wan Azwan Aiman berkata memandangkan tiada bukti yang menunjukkan Najib pernah berada di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, mahkamah seharusnya menimbang semula dan meneliti pertuduhan tersebut bagi menentukan sama ada ia benar-benar telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

"Pada peringkat ini, kami memohon agar mahkamah meneliti semula keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam kes ini serta menilainya berdasarkan pelbagai kes rujukan yang menunjukkan bagaimana sesuatu pertuduhan boleh dianggap sebagai bertindih," katanya.

Pada 6 Mei lepas, pihak pembelaan Najib menutup kesnya selepas memanggil 26 saksi dan mahkamah telah menetapkan sembilan hari bermula hari ini untuk mendengar hujahan lisan.

Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bllion daripada dana 1MDB di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  

Sejak 23 Ogos 2022, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan dengan kesalahan jenayah dalam kes berasingan iaitu menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, petisyen pengampunan diraja yang difailkan Najib pada 2 Sept 2022 telah menyaksikan hukuman penjara asal selama 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun manakala denda sebanyak RM210 juta juga dikurangkan kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481582