PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Perbualan telefon Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak mempengaruhi keputusan syarikat itu untuk menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, berkata perlakuan pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB menunjukkan bahawa mereka sudah berminat untuk mengadakan usaha sama tersebut sebelum panggilan telefon antara Najib dan Mohd Bakke berlaku.
“Hal ini kerana rekod semasa juga menunjukkan bahawa mereka sedang mengambil langkah proaktif untuk memuktamad dan merealisasikan kerjasama dengan PSI, termasuk pelantikan wakil korporat dan pembukaan akaun bank bersama.
"Persoalannya, jika BOD diarah untuk menjalinkan usaha sama dengan PSI oleh Perdana Menteri sendiri, mana mungkin mereka berani mengenakan syarat dan prasyarat sebelum bersetuju, yang pada akhirnya melambatkan perkara ini?" hujah peguam itu pada perbicaraan Najib yang didakwa melakukan penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.
Pada prosiding sebelum ini, keterangan yang dikemuka menunjukkan bahawa panggilan telefon telah dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, kepada Najib, yang bertanya sama ada bekas Perdana Menteri itu akan bercakap dengan Mohd Bakke sebelum mesyuarat khas BOD 1MDB pada 26 Sept 2009 mengenai inisiatif kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dan Arab Saudi.
Wan Azwan Aiman juga berkata meskipun Mohd Bakke menegaskan bahawa usaha sama itu tidak akan diteruskan tanpa perbualan telefon tersebut, Notis Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah bertarikh 25 Sept 2009 menunjukkan sebaliknya kerana mesyuarat itu diadakan khusus untuk meluluskan usaha sama dengan PSI.
Pihak pembelaan sedang berhujah berkaitan pertuduhan pertama terhadap Najib di bawah Seksyen 23(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mendakwa beliau telah mengarahkan BOD 1MDB semasa mesyuarat khas di The Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya untuk meluluskan satu resolusi yang membenarkan 1MDB menyertai usaha sama dengan PSI melalui langganan RM1 bilion saham biasa dalam syarikat tersebut pada harga USD1 sesaham.
Pada 6 Mei lepas, pembelaan Najib menutup kesnya selepas memanggil 26 saksi dan mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 12 Okt untuk hujahan lisan.
Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 susulan sabitan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, keputusan yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, petisyen Najib untuk mendapatkan pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022 telah menyaksikan hukuman penjara beliau dikurangkan kepada enam tahun manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA