AM

IIM Bangunkan Modul Integriti Untuk Kanak-kanak Prasekolah, Perkasa Budaya Integriti

22/10/2025 09:07 PM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Institut Integriti Malaysia (IIM) sedang membangunkan modul integriti untuk kanak-kanak prasekolah sebagai langkah membudayakan integriti sekali gus melahirkan generasi berintegriti dari peringkat usia muda.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Ahmad Ramdzan Daud berkata modul berkenaan kini dalam peringkat projek rintis dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026.

“Sekarang ini beberapa universiti telah pun kami lantik sebagai penyelidik disebabkan oleh kerana ada perbezaan dari segi usia.

“Modul untuk kanak-kanak dua hingga empat tahun adalah modul yang berbeza dengan yang berusia empat hingga enam tahun. Jadi, kami perlu lihat bagaimana maklum balas dari segi modul itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional dan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau berkata pengenalan modul ini sebahagian daripada usaha kerajaan MADANI dalam memperkukuh nilai integriti dalam masyarakat secara menyeluruh.

“Sekiranya kita tidak bermula dari awal terlalu sukar untuk memupuk integriti pada peringkat menengah dan dewasa,” katanya.

Mengenai AIGA 2025, Ahmad Ramdzan berharap lebih banyak pihak awam dan swasta menyertai anugerah itu pada tahun hadapan.

“Sesungguhnya penilaian yang dibuat (kali ini) adalah amat ketat berhubung dengan untuk pemberian permarkahan terhadap sektor awam dan juga sektor swasta.

“Kita melihat kepada bagaimana tadbir urus ke arah integriti dan tatakelola serta antirasuah dijalankan oleh setiap organisasi. 

Beliau berkata IIM akan menjadi peneraju utama dalam membentuk dan membudayakan integriti pada peringkat sektor awam dan juga swasta. 

“Ini mandat yang diberikan oleh kerajaan kepada kami,” katanya.

Pada AIGA 2025, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Duopharma Biotech Bhd masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri bagi kategori sektor awam dan sektor swasta.

Anugerah berprestij itu disampaikan Anwar selepas menyampaikan Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) yang menjadi pembuka tirai Sambutan Bulan Integriti Nasional pada November setiap tahun.

Kedua-dua organisasi berkenaan diiktiraf atas komitmen mereka menjadikan pembudayaan integriti, tadbir urus dan antirasuah sebagai agenda utama dalam pengoperasian organisasi masing-masing.

Sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri, kedua-dua organinasi itu membawa pulang sijil, piala serta wang tunai berjumlah RM50,000 setiap satu.

-- BERNAMA



 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481687