JOHOR BAHRU, 24 Okt (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatatkan nilai jualan melebihi RM100 juta tahun ini menerusi program Gate to Global, melibatkan produk usahawan tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Ahli Majlis dan Pengerusi Program Pemerkasaan Wanita MARA Senator Datuk Rosni Sohar berkata pencapaian itu antaranya diperoleh menerusi pasaran di China, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
"Nilai jualan ini (secara keseluruhan) melibatkan kira-kira 50 usahawan termasuk wanita yang menyertai Gate to Global," katanya pada sidang media selepas Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyrakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Rosni berkata MARA sentiasa memberi galakan kepada usahawan dalam mempertingkatkan perniagaan mereka dengan pelbagai bantuan yang disediakan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata, program Gate to Global memberi peluang kepada usahawan memasarkan produk mereka di luar negara menggunakan jenama tunggal yang diiktiraf di bawah MARA.
Dalam pada itu, Rosni berkata, MARA memperuntukkan RM42.4 juta bagi program keusahawanan wanita di Johor, yang memanfaatkan lebih 1,700 individu tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi RM1.13 juta bagi program pembangunan, RM35.36 juta untuk kemudahan pembiayaan, serta RM5.93 juta bagi penyediaan premis perniagaan yang kondusif.
“Harapan saya agar peserta program ini terus meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran, khususnya dalam bidang keusahawanan serta pembangunan komuniti,” katanya.
Terdahulu, Noraini dalam ucapannya menyambut baik usaha MARA meningkatkan produktiviti usahawan, khususnya dalam kalangan wanita di negara ini.
“MARA komited membangunkan ekosistem keusahawanan wanita yang inklusif, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
“Langkah ini membolehkan wanita di seluruh negara memperoleh peluang yang adil, terutamanya dalam bidang keusahawanan,” katanya.
-- BERNAMA