Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak tujuh Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) telah diselesaikan sepenuhnya manakala lima lagi dijangka dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12 PED yang telah selesai — kemas kini terbaharu mengenai kad skor Malaysia.
Sebanyak 18 PED yang diterajui Malaysia bertujuan memperluas integrasi, meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta mempercepat hubungan digital bagi menyatukan ekonomi serantau dan meraih potensi perniagaan sepenuhnya untuk hampir 680 juta penduduknya.
“Kami gembira dengan kemajuan ini dan yakin bahawa baki enam PED akan berjaya dilaksanakan menjelang akhir 2025,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata PED yang akan dibentangkan termasuklah dua perjanjian utama ekonomi, iaitu pemeteraian Protokol Kedua untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0.
“Ini adalah elemen penting untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau ASEAN dan kerjasama ASEAN dengan rakan luar.
“Dengan pandangan ke hadapan, kami menjangka perjanjian ini akan memastikan struktur perdagangan ASEAN bersedia untuk menghadapi masa depan. Ia turut mengekalkan komitmen kami terhadap sistem perdagangan yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 hari ini.
Dari segi sektor, Tengku Zafrul berkata AEC telah meluluskan untuk diterima pakai oleh para pemimpin beberapa deklarasi mengenai pembangunan mineral, pelancongan berkualiti, makanan, pertanian dan perhutanan serta penubuhan rangkaian keselamatan kecerdasan buatan (AI).
Deklarasi tersebut ialah -- Deklarasi mengenai Visi Pembangunan Mineral ASEAN; Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pelancongan Berkualiti; Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Visi Makanan, Pertanian dan Perhutanan Ke Arah 2045 dan Deklarasi mengenai Penubuhan Rangkaian Keselamatan ASEAN (ASEAN AI SAFE).
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata dalam ASEAN memasuki fasa akhir Pelan Tindakan AEC 2025, blok tersebut menjangka mencapai kadar penyelesaian hampir 90 peratus menjelang Disember 2025.
“Kami telah mengarahkan badan-badan sektor untuk memastikan pelaksanaan semua aktiviti. Kami telah mempertimbangkan cadangan kajian semula jangka akhir keseluruhan Pelan Tindakan AEC 2025.
“Kami menyokong dan bersetuju dengan langkah-langkah untuk memberi tumpuan kepada keperluan strategik serta meningkatkan mekanisme institusi kita,” katanya.
Dalam memastikan pelaksanaan inisiatif AEC dan Pelan Strategik AEC 2026-2030 berkesan dan praktikal, katanya Majlis AEC sedang berusaha ke arah mewujudkan rangka kerja dan sistem pemantauan dan penilaian berorientasikan hasil yang baik, memperkukuh keupayaan berpandangan strategik dan membangunkan mekanisme penyelarasan yang berfungsi dengan baik.
“Dari segi pelaksanaan Pelan Strategik AEC 2026-2030, kami telah menerima pakai dokumen berkaitan, Petunjuk Hasil Utama dan Senarai Aktiviti Bersepadu, selain List of Quick Wins yang diterima pakai pada awal tahun ini.
“Kami turut mengalu-alukan pemuktamadan/pengesahan beberapa pelan sektor dan mengambil maklum mengenai kemajuan pelan yang masih dijalankan,” katanya.
AECC, satu daripada tiga Majlis Komuniti ASEAN, merupakan badan penyelaras utama yang memantau pelaksanaan kerja di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN. Mesyuarat AECC diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober.
-- BERNAMA