KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka selesai melaksanakan pembuktian konsep untuk mata wang digital bank pusat (CBDC) borong domestik menjelang akhir tahun ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya langkah ini bertujuan menilai potensi CBDC dalam persekitaran terkawal bagi memperkukuh sistem pembayaran borong negara, Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) serta meningkatkan kefahaman dan keupayaan BNM dan industri kewangan berkenaan potensi teknologi lejar teragih (DLT) dan CBDC.
“Ini bagi memastikan tahap ketersediaan negara dalam menyokong potensi pengeluaran CBDC pada masa hadapan.
"BNM turut terlibat secara aktif dalam projek inovasi CBDC borong rentas sempadan yang dikendali oleh Bank for International Settlements Innovation Hub bersama beberapa bank pusat lain,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Menurut kementerian, antara projek itu termasuk Projek Dunbar, Projek Mandala dan Projek Rialto yang meneroka penggunaan CBDC (multi-CBDC) untuk memudahkan pembayaran rentas sempadan borong secara lebih cekap, pantas dan selamat.
MOF menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai sejauh mana ketersediaan kerajaan meneliti potensi CBDC dan status projek Dunbar (BNM) sebagai transaksi mata wang sah berbanding aset digital mata wang kripto.
Sementara itu, kementerian berkata nilai ringgit merekodkan kadar kenaikan sebanyak 6.1 peratus berbanding dolar AS setakat 6 Okt 2025 (setakat ini pada tahun ini) walaupun terdapat pelbagai perkembangan dan penyesuaian pasaran.
MOF berkata nilai mata wang tempatan itu turut mengukuh berbanding beberapa mata wang serantau iaitu sebanyak 9.0 peratus berbanding rupiah Indonesia, 6.6 peratus berbanding peso Filipina, 3.5 peratus berbanding renminbi China, 1.5 peratus berbanding yen Jepun dan 0.8 peratus berbanding dolar Singapura.
“Dari segi perkembangan global, penurunan nilai dolar AS akibat ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi dan polisi dagangan telah menyumbang kepada pengukuhan kebanyakan nilai mata wang negara yang pesat membangun termasuk ringgit.
“Selain itu, penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan peralihan terhadap jangkaan kadar faedah yang lebih rendah di ekonomi utama global juga menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit,” katanya.
MOF berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai prestasi nilai mata wang ringgit berbanding dolar AS dan mata wang asing lain serta sejauh mana pengukuhan itu berpunca daripada pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.
-- BERNAMA