AM

Adam Ham Diiktiraf ASEAN Records Sebagai Usahawan Paling Terhubung Di Asia Tenggara

23/10/2025 06:52 PM

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pempengaruh media sosial Adam Ham diiktiraf ASEAN Records sebagai usahawan paling terhubung di Asia Tenggara dalam sektor media dan hiburan kreatif, dengan rekod rasmi ‘Koleksi Kenalan Industri Media dan Hiburan Terbesar dalam Direktori Telefon Bimbit oleh Seorang Individu’.

Global Creative and Media Agency (GCMA) dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu disampaikan kepada Adam dalam majlis yang dihadiri lebih 300 tetamu daripada industri kreatif dan hiburan di Mont Kiara Meridin baru-baru ini.

Majlis itu turut meraikan ulang tahun ke-25 penglibatan Adam dalam industri kreatif dan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-50, menandakan perjalanan separuh abad usahawan yang aktif menjalin hubungan merentas sempadan, industri dan negara itu.

Bertemakan ‘Nightmare on Adam’s Street’, majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan dianjurkan di bawah naungan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Kamil Othman serta dihadiri nama-nama terkenal dalam industri hiburan termasuk Diana Danielle, Ruhainies, Elizabeth Tan dan Amelia Henderson.

Acara itu disokong lebih 70 penaja dan rakan strategik termasuk Gintell, Vivo, OneCare Wellness, VitaHealth dan Kinohimitsu, sekali gus mencerminkan peranan Adam sebagai penghubung utama antara dunia korporat, hiburan dan masyarakat.

Arthur dalam ucapannya memuji sumbangan Adam kepada ekonomi kreatif negara dengan menyifatkan beliau sebagai individu yang mencerminkan semangat daya tahan, kebolehsuaian dan inovasi serta sentiasa berusaha memastikan industri terus bergerak dan rakyat kekal bekerja walaupun dalam keadaan sukar. 

Sementara itu, Kamil berkata beliau menyaksikan sendiri perubahan Adam daripada seorang pegawai muda kepada penghubung serantau yang tidak pernah berhenti membina jambatan hubungan yang berjaya membuka banyak peluang baharu untuk penggiat dan usahawan kreatif di negara ini. 

Berkelulusan Western Michigan University, Amerika Syarikat, kerjaya Adam bermula pada 2000 dengan konsep Clevonomics yang menggabungkan kreativiti dan peluang ekonomi bagi membawa bakat tempatan ke peringkat antarabangsa serta pernah berkhidmat di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sebelum menyertai FINAS.

Di bawah bimbingan Kamil, Adam memainkan peranan penting dalam memperkenalkan karya tempatan seperti Upin & Ipin, Bola Kampung, Pontianak Harum Sundal Malam dan Legenda Budak Setan ke pasaran antarabangsa, selain membantu mempromosikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran filem asing.

Ketika di FINAS, beliau menumpukan usaha membawa filem dan muzik Malaysia ke festival dan pasaran antarabangsa seperti Sundance Film Festival, American Film Market, Marche du Film di Cannes, Busan International Film Festival dan MIDEM Music Festival. 

Adam kemudian menubuhkan GCMA pada 2011 bagi memperkukuh jaringan industri kreatif Malaysia di peringkat global dan ketika pandemik COVID-19, beliau menggabungkan dunia hiburan dan peruncitan melalui kerjasama selebriti dengan jenama tempatan bagi kempen iklan, duta jenama dan acara langsung, sekali gus membantu banyak artis serta pekerja industri kekal relevan.

Mengulas pengiktirafan ASEAN Records, Adam berkata pengalaman bekerja dengan sektor awam dan swasta mengajarnya bahawa hubungan serta kepercayaan adalah asas penting, manakala ekosistem kreatif Malaysia yang saling menyokong mendorongnya untuk terus membantu rakan industri tanpa mengira latar belakang.

“Kini dengan rangkaian lebih 25,000 kenalan profesional di seluruh ASEAN, saya mahu terus memperkukuh hubungan serantau, memperluas capaian kreatif Malaysia dan meninggalkan legasi yang boleh menginspirasi generasi bakat muda akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482100