AM

Trump, Anwar  Dijadual Adakan mesyuarat Bilateral Pada Sidang Kemuncak ASEAN

24/10/2025 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan mesyuarat dua hala serta majlis menandatangani perjanjian ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Ahad. 

Berdasarkan jadual tentatif yang disiarkan di laman web America’s Roll Call, Trump dijangka tiba di ibu negara pada pagi Ahad, sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dengan Anwar pada sebelah petang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Presiden AS itu kemudian dijangka menyertai majlis menandatangani perjanjian bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, dipercayai melibatkan perjanjian penyelesaian pertikaian sempadan antara kedua-dua negara Asia Tenggara berkenaan.

 Menurut jadual tentatif itu, Trump akan menamatkan lawatannya dengan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 serta jamuan makan malam rasmi bersama para pemimpin ASEAN.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden AS itu akan berlepas ke Tokyo pada Isnin untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi sebelum ke Busan pada pagi Rabu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan.

Semalam, Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata tarif semikonduktor, perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini adalah topik yang dijangka dibincangkan semasa lawatan Trump ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan pertama Trump ke Asia sejak memulakan penggal keduanya sebagai presiden , dan juga kunjungan pertama presiden AS ke Malaysia sejak Barack Obama pada sedekad yang lepas.

Malaysia yang memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt.

Acara itu akan menyaksikan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN, bersama rakan dialog utama termasuk AS, China, Korea Selatan, Jepun dan India.

Selain Trump, antara lebih 20 pemimpin global yang dijadualkan hadir ialah Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.

Sementara itu dalam satu sidang media yang diadakan di Washington, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt mengesahkan mengenai lawatan Trump ke Malaysia. 

Beliau turut mengesahkan pada lawatan itu Presiden AS itu bakal mengadakan pertemuan dengan Anwar. 

“Presiden Trump akan menyertai mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia pada sebelah petang sebelum menghadiri majlis makan malam pemimpin ASEAN pada sebelah malam,” katanya.

Beliau berkata Trump akan berlepas ke Tokyo, Jepun pada Isnin sebelum ke Busan, Korea Selatan pada Rabu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482508