AM

17 Daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi Selesai - Tengku Zafrul

24/10/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia telah menyelesaikan 17 daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang ditetapkan pada 2025 manakala bakinya dijangka selesai tidak lama lagi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata laporan mengenai PED itu akan dibentangkan kepada pemimpin ASEAN pada Ahad ini.

“Kami telah membincangkan PED dan kami akan menghantar laporan kami kepada para pemimpin untuk penerimaan dan pengesahan pada mesyuarat pemimpin.  

“Di bawah tonggak ekonomi, kami telah merumuskan banyak petunjuk prestasi utama. Dalam perkara ini, kami menamakannya keberhasilan utama ekonomi.

“Kami gembira untuk membentangkannya kepada para pemimpin pada Ahad ini untuk penerimaan dan pengesahan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 hari ini. 

Pada 22 September, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Mastura Ahmad Mustafa berkata Malaysia yakin dapat mencapai 15 daripada 18 PED tepat pada masanya untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

PED yang diterajui oleh Malaysia akan memacu integrasi ekonomi serantau sebagai sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

AECC, satu daripada tiga Majlis Komuniti ASEAN, merupakan badan penyelaras utama yang memantau pelaksanaan kerja di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN. Mesyuarat AECC diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober.

Sidang kemuncak ini dijangka menjadi antara mesyuarat terbesar dalam sejarah blok tersebut, menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih baik selain menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482506