SUKAN

Terbuka Perancis: Aaron-Wooi Yik Bakal Bertemu Yew Sin-Ee Yi Rebut Slot Suku Akhir

23/10/2025 10:31 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kempen beregu lelaki Malaysia dalam Kejohanan Badminton Terbuka Perancis 2025 bermula cemerlang apabila dua gandingan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin–Teo Ee Yi, mara ke pusingan 16 terbaik, sekali gus bakal bertemu sesama sendiri bagi merebut tempat ke suku akhir.

Dalam aksi di Arena Glaz, Cesson-Sevigne, gandingan utama negara Aaron-Wooi Yik menampilkan permainan tenang untuk menewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, 21-15, 26-24.

Sementara itu, Yew Sin-Ee Yi turut menunjukkan prestasi meyakinkan apabila mengatasi wakil India, Pruthvi Krishnamurthy Roy-Sai Pratheek K., 21-18, 21-13 pada pusingan pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking kedua dunia mempunyai kelebihan dengan enam kemenangan daripada sembilan pertemuan menentang rakan sepasukan mereka itu.

Pertemuan tersebut menjamin sekurang-kurangnya satu wakil Malaysia akan mara ke suku akhir kejohanan Siri Jelajah Dunia BWF Super 750 itu.

Menambah lagi kegembiraan kem negara, gandingan Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani bangkit dengan semangat juang tinggi untuk menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 15-21, 21-19, 21-11, sekali gus menempah pertemuan pusingan 16 menentang wakil Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Rentak cemerlang Malaysia diteruskan dalam acara beregu wanita apabila Pearly Tan-M. Thinaah menewaskan pasangan Taiwan, Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun, 21-16, 22-24, 21-12.

Mereka akan berdepan gandingan China, Bao Li Jing–Zhang Shu Xian, pada pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, cabaran tunggal lelaki negara Leong Jun Hao, terhenti selepas tewas 16-21, 15-21 kepada pemain Denmark yang juga pemenang dua pingat emas Olimpik Viktor Axelsen, yang seterusnya akan menentang wakil Taiwan, Chou Tien Chen.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481815