DUNIA

WHO Pindahkan 41 Pesakit Kritikal Dari Gaza Dalam Operasi Pertama Sejak Gencatan Senjata

23/10/2025 10:54 AM

GENEVA, 23 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada lewat Rabu berkata pihaknya telah melaksanakan pemindahan perubatan pertama dari Gaza sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Okt, dengan memindahkan 41 pesakit tenat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu hantaran di platform X, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata operasi itu menandakan penyambungan semula pemindahan menyelamat nyawa yang tertangguh selama beberapa bulan akibat peperangan sengit oleh Israel.

“WHO hari ini mengetuai pemindahan perubatan 41 pesakit kritikal bersama 145 pengiring keluar dari Gaza - yang pertama sejak gencatan senjata,” tulisnya.

Tedros berkata “kira-kira 15,000 pesakit masih menunggu kelulusan untuk menerima rawatan perubatan di luar Gaza,” sambil menegaskan bahawa ramai masih memerlukan rawatan segera yang tidak dapat diperoleh di kemudahan kesihatan wilayah itu yang rosak.

“Kami terus menyeru negara-negara agar menunjukkan solidariti dan membuka semua laluan bagi mempercepatkan pemindahan perubatan,” tambahnya.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481834