PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Sebanyak 30 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berjaya memperoleh Penarafan Bandar Pintar Malaysia 2025, sekali gus memperlihatkan kemajuan dalam pelaksanaan inisiatif bandar pintar ke arah merealisasikan aspirasi Negara Pintar menjelang 2040.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pengiktirafan itu berasaskan indikator bandar pintar di bawah Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019 (Smart City Indicators) yang digunakan bagi menilai prestasi dan tahap pelaksanaan inisiatif bandar pintar di peringkat tempatan.
“Daripada jumlah itu, 27 PBT menerima penarafan Tahap 1 iaitu Smart City Early Adopter, dua PBT diiktiraf Tahap 2 Developing Smart City manakala satu PBT Tahap 3 Leading Smart City,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aiman Athirah berkata penarafan Tahap 3 merupakan kali pertama sejak program itu diperkenalkan pada 2023, dengan setakat ini, sebanyak 75 PBT telah menerima pengiktirafan termasuk 70 PBT pada Tahap 1 dan empat PBT bagi Tahap 2.
Beliau berkata PBT tersebut akan menerima anugerah daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 28 Okt sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2025 di sini.
“Kejayaan ini turut disokong oleh geran peruntukan khas diberikan kepada PBT bagi melaksanakan projek bandar pintar di kawasan masing-masing. Ini selaras dengan sasaran KPKT dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk mengiktiraf 115 PBT sebagai Smart City Early Adopter menjelang 2030,” katanya.
Aiman Athirah memaklumkan bermula tahun ini, KPKT memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Penarafan Perbandaran Pintar atau Smart Township bagi pemaju swasta dalam tiga kategori iaitu perak, emas dan platinum.
“Sebanyak 15 permohonan Smart Township telah diterima daripada pemaju swasta, dan lima perbandaran berjaya mendapat penarafan iaitu dua bagi tahap perak, dua (emas) dan satu perbandaran menerima tahap tertinggi iaitu platinum,” katanya.
Beliau berkata usaha berterusan KPKT dalam memperluas pelaksanaan bandar dan perbandaran pintar dilihat sebagai pemangkin kepada hasrat menjadikan Malaysia sebuah Negara Pintar menjelang 2040, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjamin kemampanan bandar.
-- BERNAMA