AM

Malaysia Tuan Rumah Transport Expo Asia 2025, 11 Hingga 13 Nov

23/10/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Transport Expo Asia (TXA) 2025, platform serantau utama yang mempamerkan inovasi dan kelestarian dalam ekosistem pengangkutan dan logistik, bakal berlangsung dari 11 hingga 13 Nov di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Acara ini dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, yang menyatukan agensi kerajaan, pengendali pengangkutan, penyedia teknologi dan inovator industri untuk meneroka masa depan mobiliti, infrastruktur pintar dan rantaian bekalan berasaskan ESG di Asia.

Dalam kenyataan, Pengarah Urusan Alpine Integrated Solution Anita Jacobson berkata TXA 2025 bertujuan memperkukuh kolaborasi antara pihak berkepentingan sambil mempromosikan transformasi digital lestari bagi menjadikan Malaysia hab serantau bagi solusi pengangkutan bersedia masa depan.

Beliau berkata beberapa mesyuarat penyelarasan peringkat tinggi telah diadakan menjelang acara itu, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOT Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Normah Osman, dengan kerjasama Alpine Integrated Solution serta jawatankuasa pemandu acara.

Anita menambah mesyuarat berkenaan meneliti kemajuan persiapan, penglibatan peserta pameran, perancangan program dan logistik, sejajar dengan komitmen kepimpinan MOT serta kerjasama erat dengan sektor swasta bagi memastikan kejayaan TXA 2025.

“Momentum positif menjelang TXA 2025 menunjukkan kolaborasi kukuh antara MOT, pemain industri dan sektor swasta. Acara ini bakal menjadi titik penting dalam memajukan inovasi pengangkutan dan logistik di Malaysia,” tambahnya.

Antara peserta pameran yang telah disahkan termasuk Aerodarat Services, FGV Holdings Berhad, FedEx Express, Batik Air (Malindo), Grab Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad, MRT Corp, YTL Corporation Berhad dan Malaysia Airlines Berhad.

Seiring TXA 2025, beberapa persidangan dan forum utama turut diadakan termasuk Kongres Keselamatan Jalan Raya 2025, yang menumpukan pada inovasi keselamatan jalan raya, sistem pengangkutan pintar dan inisiatif mobiliti pintar.

Kongres berkenaan juga menampilkan Dialog Khas PDRM 4 pada 13 Nov, dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia bagi memperkukuh penguatkuasaan, dasar keselamatan dan kesedaran awam.

Acara lain termasuk TXA Forum 2025: Masa Depan Penerbangan, TXA dan International Air Transport Association (IATA) Air Cargo Day 2025 serta TXA Maritime Forum 2025.

Pendaftaran untuk pameran bertemakan “Future on the Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics & ESG-Driven Supply Chains” adalah percuma dan kini dibuka di www.txa.my.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482058