JENAYAH & MAHKAMAH

Tukang Masak Maut, Motosikal Ditunggang Bertembung SUV

20/10/2025 05:29 PM

SETIU, 20 Okt (Bernama) -- Seorang tukang masak sebuah restoran maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 61 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu, berhampiran Kampung Rahmat, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata dalam kejadian pukul 11.37 pagi itu, mangsa, Loh Eng Keat, 61, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton X70 dipandu seorang jururawat berusia 36 tahun dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, manakala motosikal mangsa datang dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan SUV berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zain berkata pemandu SUV bersama tiga penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480847