BUTTERWORTH, 23 Okt (Bernama) -- Seorang pemandu lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 7,737 liter diesel tanpa lesen sah pada tahun 2023 dan 2024.
Hakim Roslan Hamid turut memerintahkan Mohammad Syafiq Jaily dihukum penjara 12 bulan jika gagal bayar denda.
Mohammad Syafiq didakwa memiliki 2,230 liter diesel yang disimpan secara haram dalam tangki tambahan sebuah kenderaan bersama-sama peralatan seperti pam, hos paip dan tangki besi untuk aktiviti pemindahan bahan api di tepi jalan di kawasan Bukit Mertajam pada 7 Julai 2023.
Dia juga didakwa memiliki 5,507 liter diesel menggunakan kenderaan yang sama serta peralatan seperti pam dan hos paip di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam pada 25 April, 2024.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang Mohd Hilmi Abu Hassan dan Zulaila Zainuddin mengemukakan kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohammad Syafiq yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum atas alasan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja, tiga anak dan ibu mentua yang lanjut usia.
Roslan turut memerintahkan agar hasil jualan barang rampasan, bayaran bon jaminan kenderaan serta eksibit yang disita sama ada dilucut hak dan dijadikan hasil kerajaan atau dilupuskan.
-- BERNAMA