SANDAKAN, 23 Okt (Bernama) -- MJets Air Sdn Bhd, anak syarikat MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd yang juga cabang penerbangan MMAG Holdings Bhd (MMAG), hari ini melancarkan perkhidmatan kargo udara terus pertama antara Kuala Lumpur dan Sandakan yang menandakan pencapaian bermakna dalam rangkaian kesalinghubungan kargo udara Malaysia.
Pengarah Eksekutif MMAG Holdings Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MJets Air Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata laluan terus baharu itu mengetepikan keperluan transit menerusi Kota Kinabalu selain meningkatkan kecekapan logistik antara Semenanjung Malaysia dan Sabah.
“Ini dijangka mempercepatkan dagangan serta penghantaran bagi perniagaan dan pengguna di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, sekali gus merealisasikan kesalinghubungan kargo udara lebih cepat dan diyakini ke rantau ini.
“Tempoh penghantaran ke Sabah juga lebih pantas manakala pengeksport mempunyai saluran lebih cekap ke pasaran serantau menerusi perkhidmatan seterusnya kami ke Hong Kong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perkhidmatan itu yang diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Menteiz Aviation Services serta Kementerian Pengangkutan, beroperasi sebanyak empat kali seminggu dan dirancang untuk diperluaskan kepada penerbangan harian apabila permintaan meningkat.
Ahmad Luqman berkata selain menyokong industri tempatan, inisiatif itu juga sejajar dengan usaha kerajaan di bawah kerangka ekonomi MADANI bagi meningkatkan kesalinghubungan serantau dan kemudahan perdagangan.
Kargo-kargo yang dibawa masuk ke Sandakan itu turut merangkumi penghantaran e-dagang, alat ganti, dan kargo am manakala penghantaran keluar menumpukan hasil laut, sarang burung dan produk lain ke pasaran Hong Kong dan China.
-- BERNAMA