KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Penyedia penyelesaian kejuruteraan ujian THMY Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan premium kukuh sebanyak 158 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 31 sen.
Pada 9 pagi, kaunter itu dibuka pada 80 sen, dengan 49.82 juta saham bertukar tangan.
THMY Holdings berkata, daripada jumlah hasil itu, sebanyak 58.1 peratus akan diperuntukkan bagi pembinaan kilang baharu, 11.7 peratus bagi pembayaran balik pinjaman bank dan 8.3 peratus untuk pembelian mesin dan peralatan.
Katanya sebanyak 6.9 peratus pula akan diperuntukkan untuk modal kerja dan 4.3 peratus bagi reka bentuk dan pembangunan serta penyelidikan dan pembangunan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya Ooi Can Nix ketika pelancaran prospektus THMY pada bulan lepas berkata kilang baharu itu akan dibina kira-kira tiga kilometer daripada kemudahan sedia ada syarikat di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.
Beliau berkata rancangan pengembangan kumpulan itu adalah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian ujian automatik.
Bagi operasi luar negara, beliau berkata Thailand kekal sebagai pasaran terbesar THMY di Asia Tenggara.
-- BERNAMA