KAPIT, 23 Okt (Bernama) -- Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit dan Pengerusi Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menerima kunjungan hormat Pensyarah Sains Gunaan Western Norway University Dr Hans-Jacob Roald di Pejabat Residen Kapit.
Kunjungan itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara Sarawak dan Norway dalam bidang pembangunan bandar mampan serta perancangan wilayah, selaras dengan usaha kerajaan negeri mewujudkan pembangunan yang seimbang dan berasaskan kemampanan di kawasan luar bandar.
Nanta berkata hubungan dua hala itu adalah susulan lawatan kerja delegasi Sarawak ke Oslo dan Bergen awal tahun ini, yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Antara topik utama yang dibincangkan ketika lawatan itu ialah Pelan Induk Kapit yang dirangka untuk membimbing pembangunan masa depan Kapit secara mampan dan inklusif,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis itu.
Beliau berkata pelan itu diterajui oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang menekankan kemampanan, keterangkuman dan keseimbangan pembangunan wilayah.
Kapit, yang terletak di kawasan tengah Sarawak dengan penduduk melebihi 60,000 orang, kini berkembang pesat selepas siapnya Jalan Sibu-Kapit, namun menghadapi cabaran baharu termasuk kesesakan, kekangan ruang pembangunan serta keperluan infrastruktur yang terancang.
“Bagi mengatasi cabaran itu, Pelan Induk Kapit menggariskan transformasi bandar itu sebagai model pembangunan mampan dengan penekanan kepada mobiliti, ruang awam berkualiti, kemudahan komuniti dan pemeliharaan identiti budaya tempatan,” jelas Nanta.
Beliau berkata sepanjang lawatan beberapa hari di Kapit, Roald yang juga seorang arkitek dan perancang bandar ternama Norway turut meninjau beberapa projek utama termasuk naik taraf Jalan Bleteh, pembinaan Jalan Bukit Goram/Nanga Yong serta pembangunan kawasan bekas Lapangan Terbang Kapit bagi menilai potensi dan cabaran di lapangan.
Nanta turut menzahirkan keyakinan bahawa kepakaran Roald dalam bidang perancangan bandar dan pembangunan lestari akan membantu memperkukuh pelaksanaan Pelan Induk Kapit agar menepati amalan terbaik antarabangsa tanpa mengetepikan keperluan tempatan.
“Bagi pihak Kerajaan Sarawak dan URDA, saya merakamkan penghargaan atas kesudian beliau berkongsi ilmu serta pengalaman, yang pastinya memperkukuh hubungan baik antara Sarawak dan Norway ke arah pembangunan mampan dan seimbang di wilayah Hulu Rajang,” katanya.
-- BERNAMA