AM

Projek Pembangunan Desa Dilaksana Secara Berstruktur - Ahmad Zahid

23/10/2025 04:54 PM

LIPIS, 23 Okt (Bernama) -- Setiap projek pembangunan kawasan desa dilaksanakan secara berstruktur supaya kesannya dinikmati masyarakat di peringkat akar umbi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementerian sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan berkenaan bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ahmad Zahid berkata projek jalan dan jambatan dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis merupakan bukti nyata usaha berkenaan. 

"Dengan siapnya projek ini aktiviti ekonomi seperti pelancongan, pertanian dan keusahawanan desa akan berkembang, membuka ruang rezeki baharu serta menarik anak muda untuk terus membina masa depan di kampung halaman mereka," katanya ketika berucap merasmikan projek berkenaan di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. 

Menurut Ahmad Zahid, laluan projek itu berpotensi sebagai koridor pelancongan utama Pahang yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut  hingga Cameron Highlands melalui Kuala Lipis dan seterusnya ke Genting Highlands.

Beliau berkata jalan berkenaan akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang sebagai jajaran jalan negeri, bermula dari persimpangan Jalan Kampung Selimbang-Kampung Lubuk Payung dan bersambung dengan Jalan Persekutuan FT234, sebagai tanda kepercayaan dan kesinambungan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan serta negeri.

Projek berimpak tinggi jalan dan jambatan dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis telah dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina oleh kontraktor dilantik, siap pada 25 Ogos lepas dengan kontrak bernilai RM157.89 juta.

Infrastruktur itu dapat memendekkan jarak perjalanan antara Kampung Mela, Lipis ke Kampung Labu, Jerantut daripada 60 kilometer (km) kepada 17km di samping mengurangkan tempoh perjalanan daripada satu jam kepada 15 minit.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa tiada satu kampung dibiarkan terpinggir daripada arus pembangunan negara kerana menjadi hasrat Kerajaan MADANI memastikan rakyat desa terus menikmati kemajuan yang seimbang serta merapatkan jurang sosioekonomi antara bandar dan luar bandar. 

Beliau berkata menerusi peruntukan tahun hadapan,  sebanyak RM7.78 bilion disalurkan khusus bagi melaksanakan projek pembangunan seperti pembinaan jalan, bekalan elektrik, air, telekomunikasi dan kemudahan sosial.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482034