AM

Lapel Pin Khas ASEAN Ke-47 Lambang Keselamatan Dan Kebersamaan Bawah Kepengerusian Malaysia

24/10/2025 11:25 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman & Nur Syuhada Yusof

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Hanya sebesar ibu jari yang tersemat kemas di dada sut para pemimpin ASEAN serta rakan dialog, lapel pin khas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar aksesori pakaian.

Pin istimewa itu berperanan sebagai alat pengenalan keselamatan berstatus tinggi yang menonjolkan imej serta identiti kenamaan, selain menjadi simbol protokol pada persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt ini.

Ketua Sekretariat Logistik Utama ASEAN (SILA), Kementerian Luar, Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata rekaan pin yang mencerminkan semangat kebersamaan ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bertujuan memudahkan pergerakan terutama semua pemimpin negara semasa menghadiri sidang kemuncak itu.

“Pin ini berfungsi sebagai pengenalan visual yang membolehkan golongan kenamaan melalui akses keselamatan tanpa perlu menjalani pemeriksaan seperti pengimbas atau proses biometrik, memandangkan mereka perlu bergerak dengan pantas.

“Walaupun tidak dilengkapi cip keselamatan elektronik, reka bentuk dan warnanya sudah mencukupi bagi membolehkan petugas keselamatan mengenal pasti kategori pemakai dari jauh,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bahawa pin tersebut dibahagikan kepada tiga kategori utama mengikut warna, iaitu emas bagi pemimpin negara, perak untuk menteri dan gangsa bagi pegawai kanan kerajaan.

“Reka bentuknya berasaskan motif bunga raya sebagai lambang Kepengerusian ASEAN-Malaysia, selain mempunyai 10 bucu melambangkan 10 negara anggota ASEAN malah logo serta warna rasmi ASEAN iaitu biru, merah dan kuning turut digunakan dengan sentuhan rekaan kali ini lebih tradisional berbanding Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas yang menampilkan gaya moden,” katanya.

Beliau turut berkata pin berkenaan direka oleh syarikat tempatan di bawah Jawatankuasa Kecil Logistik (JKKL) Pendaftaran dan Akreditasi, sebelum diluluskan dan dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lapel pin khas dengan rekaan menyerupai kerongsang juga disediakan untuk pasangan pemimpin negara dengan warna emas, manakala pasangan menteri menerima pin perak, masing-masing hasil pilihan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain memperkukuh aspek keselamatan, Raja Saifful Ridzuwan berkata pemakaian pin itu turut menjadi simbol penghormatan kepada pemimpin tertinggi serta pasangan yang hadir, di samping berfungsi sebagai cenderahati daripada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Pemakaian pin bagi setiap kategori ini memberi rasa penghargaan kepada penerimanya dan apabila ia dibawa pulang ke negara masing-masing, ia akan menjadi kenangan istimewa terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya.

Tambah membanggakan, beliau berkata pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa yang dijangka hadir ke sidang kemuncak itu turut akan memakai pin melambangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, menghimpunkan pemimpin daripada 10 negara anggota ASEAN bersama rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

Sementara itu, Raja Saifful Ridzuwan berkata kawalan ketat keselamatan di lokasi persidangan turut akan dilaksanakan dengan penggunaan pas yang mengandungi cip keselamatan bagi memastikan hanya individu berakreditasi dibenarkan memasuki kawasan terhad.

Beliau berkata pas itu mempunyai logo tersembunyi yang hanya boleh dilihat di bawah cahaya ultraungu (UV) untuk pengesahan ketulenan mengikut piawaian Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), selain paparan identiti di skrin LED apabila melalui pengimbas biometrik di laluan utama atau e-gate.

“Setakat ini, lebih 16,000 telah berdaftar untuk pas keselamatan terdiri daripada pelbagai kategori termasuk delegasi, pengamal media dan pegawai keselamatan,” katanya dan menambah bahawa pencetakan dilaksanakan oleh 50 petugas JKKL Pendaftaran dan Akreditasi.

Katanya, setiap kategori pas juga menggunakan lanyard berdasarkan warna berbeza antaranya biru untuk delegasi, jingga (sekretariat), merah (anggota keselamatan) dan putih (media rasmi) bagi memudahkan proses pengecaman di lapangan.

“Hanya mereka yang memakai pas-pas ini sahaja dibenarkan masuk kerana aspek keselamatan amat dititikberatkan bagi memastikan tetamu berada dalam keadaan selamat, selesa serta dapat pulang dengan memori yang indah semasa berada di Malaysia,” katanya.

Beliau turut berkata sekiranya berlaku kehilangan pas, para petugas dan peserta yang telah berdaftar perlu membuat laporan di balai polis bergerak KLCC bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan serta memastikan keselamatan sidang kemuncak terjamin.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482283