ALOR SETAR, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak 206 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang baharu dibuka di Kulim malam tadi susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka terdiri daripada 66 keluarga kini ditempatkan di PPS Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok dan Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Khai Min.
“PPS Surau Taman Sang Kancil menempatkan 88 mangsa manakala Dewan Kampung Paya Tok Betok (16 mangsa) dan SJKC Khai Min (102 mangsa).
“Mukim yang terjejas di daerah itu akibat hujan lebat berterusan selama empat jam adalah Lunas, Sungai Ular dan Karangan yang melibatkan Kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemunting dan Kampung Banggol Penyengat,” menurut kenyataan itu.
JPBN Kedah memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Kuala Muda yang ditempatkan di PPS SJKC Chong Cheng sejak Rabu adalah sebanyak 52 orang membabitkan 24 keluarga dari Kampung Huma.
Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir memaklumkan dua sungai di Kedah telah melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Ketil di Baling dengan bacaan 60.46 meter (m) serta Sungai Pendang di Pendang, 2.84 meter.
“Paras air di Sungai Nawa di Pokok Sena (10.11 m) dan Sungai Chepir di Sik (36.28 m) berada pada paras amaran manakala empat lagi sungai merekodkan paras waspada iaitu Sungai Ketil di Baling, Sungai Melaka di Langkawi, Sungai Serdang di Bandar Baharu dan Sungai Laka di Kubang Pasu,” menurut laman sesawang itu.
-- BERNAMA