AM

ASEAN Bersatu, Bersepadu Miliki Pengaruh Rundingan Lebih Besar Meskipun Dengan Kuasa Besar Ekonomi

24/10/2025 11:20 AM

Oleh Karina Imran and Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- ASEAN yang lebih bersatu dan bersepadu akan mempunyai pengaruh serta kuasa tawar-menawar yang lebih besar dalam rundingan perdagangan antarabangsa walaupun berdepan dengan kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS), kata seorang ahli ekonomi.

Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan di University of Nottingham Malaysia Dr Tan Chee Meng berkata penyepaduan ekonomi amat penting bagi ASEAN dalam melindungi kepentingan serantau ketika berunding dalam perjanjian perdagangan global.

“Jika ASEAN dilihat berunding secara sendirian, anda tidak mempunyai kekuatan untuk menyuarakan kehendak kepada AS atau mana-mana kuasa besar lain.

“Disebabkan itu, Presiden AS (Donald Trump) lebih gemar menggunakan rundingan secara sebelah pihak,” katanya.

Tan, yang juga penganalisis tetap bagi hal ehwal ASEAN, menjelaskan bahawa Trump lebih cenderung berunding dengan setiap negara ASEAN secara berasingan berhubung tarif perdagangan, berbanding berunding dengan ASEAN sebagai satu blok.

“Beliau tahu bahawa jika berunding secara satu lawan satu, AS akan mendapat lebih banyak manfaat. Tetapi jika berunding dengan sebuah blok, rundingan menjadi lebih sukar kerana blok itu mempunyai kuasa yang lebih besar,” katanya semasa sesi temu bual bersama hos Nadiah Abdul Latif dalam program “The Nation ASEAN+ terbitan Bernama TV bertajuk “Investing In ASEAN: The Next Decade of Regional Growth”.

Tan berkata sidang kemuncak ini akan membolehkan ASEAN memperkemas penyelarasan, meningkatkan keyakinan pelabur serta mengukuhkan integrasi ekonomi untuk mengekalkan daya tarikan rantau ini bagi pelaburan asing.

“Meskipun visi ASEAN ke arah integrasi lebih utuh menjelang 2045 merupakan satu aspirasi yang berani, hal itu adalah perlu sekiranya rantau ini mahu bersaing sebagai sebuah pasaran tunggal.

“ASEAN mempunyai banyak potensi untuk ditawarkan kepada pelabur, termasuk dari China yang kini semakin banyak menempatkan syarikatnya di rantau ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa semangat pelabur itu perlu disokong oleh tadbir urus yang kukuh dan dasar yang konsisten di seluruh blok serantau itu.

ASEAN yang kini dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, akan menjadi blok 11 negara dengan kemasukan Timor-Leste pada sidang kemuncak yang dianjurkan oleh Malaysia itu.

“Pelabur memang mahu berada di sini, tetapi persoalannya, adakah kita mempunyai peraturan yang betul? Adakah kita menyelaras dasar dengan baik untuk memberi keyakinan kepada mereka? Itu yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Tan berkata cabaran terbesar bagi ASEAN ketika ini ialah penyelarasan dan dasar yang konsisten, sama ada antara negara anggota mahupun di dalam negara masing-masing.

“Koordinasi adalah isu utama kerana kita bercakap tentang 10 negara yang berbeza. Namun, adakah semua mempunyai undang-undang pelaburan asing yang sama? Sedangkan dalam sesebuah negara pun, dasar boleh berubah apabila kerajaan bertukar, yang seterusnya boleh menimbulkan ketidaktentuan,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata ASEAN boleh memperkukuh perpaduannya dengan menyeragamkan struktur tadbir urus serta memastikan ketelusan dalam pelaksanaan dasar.

Beliau pada masa sama turut menekankan keperluan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja serantau dan memperkukuh keupayaan teknologi bagi memperkukuh keyakinan pelabur asing.

Langkah ini akan menggalakkan pelabur datang ke Malaysia dan negara ASEAN lain kerana yakin dengan keupayaan tenaga kerja tempatan, katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan boleh meningkatkan daya saing antarabangsa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memberi tumpuan kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran.

“PKS sebenarnya boleh mempertingkat kualiti produk mereka jika mempunyai kemahiran dan peralatan yang betul.

“Sehubungan itu, kerajaan dilihat perlu menyalurkan subsidi dengan lebih berkesan ke arah latihan semula tenaga kerja dalam sektor PKS dan memastikan insentif sesuai disediakan untuk membantu mereka,” kata beliau.

-- BERNAMA 



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482345