KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan lencongan jalan secara berperingkat di laluan Kulai-Sedenak bermula Isnin hingga Khamis depan bagi kerja pemasangan rasuk jambatan di bawah Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng (Utara) ke Senai (Utara).
PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja pemasangan itu dijadualkan dijalankan antara KM34.20 hingga KM36.20 arah selatan serta KM32.50 hingga KM34.50 arah utara dari pukul 10 malam hingga 5 pagi.
“Sepanjang tempoh berkenaan, trafik akan dilencongkan ke laluan paling kanan bagi mewujudkan zon kerja selamat serta meminimumkan gangguan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
PLUS turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini, selain mematuhi semua papan tanda dan arahan petugas di lokasi kerja.
Untuk maklumat trafik semasa atau bantuan, pengguna boleh menghubungi Pembantu Maya PUTRI, melayari aplikasi X @plustrafik, mengikuti paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.
-- BERNAMA