AM

Sidang Kemuncak ASEAN: Cef Bertungkus Lumus Sediakan Hidangan Untuk 5,000 Delegasi

24/10/2025 10:15 PM

Oleh Vikneswaran a/l Raman

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Ketika kuasa besar serantau dan beberapa pemimpin terkemuka dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersiap sedia berhimpun untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, kumpulan lain pula bertungkus lumus di sebalik tabir untuk memastikan perut kira-kira 5,000 orang tidak “berkeroncong”.

Di dalam dapur Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang luas, lebih 100 cef tidak henti-henti memasak untuk menghasilkan ribuan hidangan setiap hari, bermula dari seawal subuh hingga lewat malam.

Dari 26 hingga 28 Okt, misi mereka jelas – menyediakan makanan untuk mereka yang terlibat dalam sidang kemuncak itu tanpa berkompromi terhadap rasa, kualiti dan keselamatan makanan.

Cef Eksekutif pusat konvensyen itu Cef Hisham Jaafar berkata pasukannya terdiri daripada 68 cef tetap dan kira-kira 100 pekerja sambilan, ditugaskan menyediakan lima hidangan setiap hari untuk lebih 5,000 delegasi. Sejak awal minggu ini, dapur berkenaan telah menyediakan antara 2,000 hingga 3,000 sajian sehari sebagai persiapan ke acara utama.

“Misi kami ialah menyajikan delegasi hidangan terbaik yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia menggunakan bahan tempatan sebanyak mungkin. Antara menu tumpuan ialah rendang, varuval, char kuetiau dan sate. Walaupun jumlahnya besar, kualiti dan keselamatan tetap menjadi keutamaan kami,” katanya.

Hisham, 53, berkata antara acara paling dinanti-nantikan ialah Makan Malam Gala pada Isnin (27 Okt) yang akan dihadiri kira-kira 860 tetamu kenamaan termasuk pemimpin ASEAN, rakan dialog dan wakil dari Kesatuan Eropah serta pertubuhan antarabangsa lain.

“Kami akan mempersembahkan cita rasa Malaysia dalam gaya avant-garde. Walaupun hidangan Barat, kami akan menambah sentuhan tempatan. Sup pula ialah sup kacang kuda dan labu berkrim, manakala pembuka selera termasuk pecal dan gado-gado,” katanya.

Bagi hidangan utama, delegasi mempunyai lima pilihan antaranya sate daging, siakap Pulau Ketam dimasak gaya Cina, sambal udang galah segar yang dihidangkan dengan nasi lemak mini, dan roulade ayam berperisa rendang.

Pencuci mulut pula menampilkan sentuhan tropika Malaysia, iaitu mousse panna cotta laici-limau bersama buah-buahan tempatan, menawarkan hidangan penutup yang segar dan ringan selepas menikmati hidangan utama yang penuh dengan rasa.

Bagi sesi tertutup melibatkan Trump pada Ahad, menu lebih ringan akan disajikan mengikut protokol, termasuk pembuka selera sejuk seperti sandwic daging panggang mini, gulungan ayam salai hickory dan rosettes salmon dengan kaviar sitrus – gabungan sentuhan Barat dengan cita rasa Asia.

Hisham berkata antara cabaran terbesar pasukannya ialah mengendalikan keperluan diet khas seperti vegetarian, bebas gluten dan tanpa tenusu, selain berdepan dengan perubahan saat akhir, namun pasukan itu komited untuk melakukan yang terbaik bagi memenuhi setiap permintaan.

Tidak lengkap perhimpunan ASEAN di Malaysia tanpa kehadiran raja buah, durian, yang akan dihidangkan pada Majlis Makan Malam Menteri-Menteri Luar di Menara Permata Sapura malam ini.

Menurut Hisham, minuman juga disediakan khas bagi mencerminkan rasa semula jadi Malaysia, menggunakan bahan tempatan seperti pandan, buah-buahan tropika dan campuran sitrus.

“Minuman kami diterima baik kerana rasanya sama dengan minuman yang ada di negara serantau, lebih kurang seperti di Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura, namun kita menambah kelainan sendiri,” katanya dan menambah antara ciptaan unik ialah minuman berasaskan limau dan laici.

Dan sudah tentu, hidangan Malaysia tidak lengkap tanpa teh tarik.

 “Semua orang suka akan teh tarik. Kadang-kadang kami membuat versi berperisa pisang, tetapi yang klasik tetap menjadi kegemaran semua,” katanya sambil tertawa.

Berbekalkan pengalaman lebih 18 tahun, termasuk pernah menyajikan makanan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 2014 dan 2015, Hisham berkata persediaan untuk acara tahun ini bermula dari seawal Januari dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482522