SUKAN

Semangat Kental Ironman Cerminan Jiwa KL Wellness City - Vincent

24/10/2025 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pengarah Eksekutif KL Wellness City (KLWC) Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata tekadnya untuk menamatkan 16 perlumbaan penuh Ironman dalam tempoh hanya 36 bulan, mencerminkan semangat dan ketabahan yang sama yang mendorong pembangunan KL Wellness City (KLWC).

Beliau berkata percubaan ke-16 itu akan dilakukannya di Florida, Amerika Syarikat pada 1 Nov ini, bersama-sama dengan seorang lagi rakyat Malaysia Ng Choon Keith, dan kedua-dua mereka berhasrat untuk menjelmakan misi KLWC dalam mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat.

“Sebenarnya semangatnya sama. Apabila kami memulakan pembinaan KLWC, apa sahaja yang saya lakukan adalah cerminan atau sinergi serta pemikiran yang sama yang dikongsi oleh para pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah kami iaitu semangat dan komitmen yang kami curahkan terhadap KLWC.

“Untuk membangunkan sebuah perbandaran, ia memerlukan ketabahan, semangat, komitmen serta motivasi dan kecekalan yang berterusan. Jadi, untuk menyertai triathlon Ironman dengan berenang, berbasikal dan berlari, ia juga memerlukan strategi mental dan semangat yang sama,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan dan penyerahan bendera Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) 2026 di sini, hari ini.

Vincent telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records pada Oktober 2024 kerana mencapai rekod “Paling Banyak Menyertai Pertandingan Ironman oleh Seorang Usahawan”, setelah menamatkan 11 perlumbaan penuh Ironman dalam tempoh 24 bulan.

Sementara itu, Choon Keith yang telah menamatkan lima perlumbaan Ironman dan dua perlumbaan Oceanman, mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan pertandingan renang air terbuka terpanjang di dunia sejauh 81 kilometer di Sungai Bhagirathi, India, satu pencapaian yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Kedua-dua mereka akan membawa bendera MHTC dengan penuh kebanggaan, semasa Ironman Nations Parade dan berhasrat menamatkan perlumbaan sambil mengibarkan bendera Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026, sebagai lambang kepimpinan Malaysia dalam bidang perubatan dan kesejahteraan bertaraf global.

Majlis Pelepasan Ironman Florida itu, turut menyokong kempen nasional oleh MHTC untuk memposisikan Malaysia sebagai destinasi utama dunia bagi pelancongan kesihatan dan kesejahteraan, bersempena Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Terdahulu, acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif MHTC yang baharu dilantik Suriaghandi Suppiah.

KL Wellness City turut mengumumkan penambahan tiga rakan strategik baharu iaitu SQL by EIST, Anemos dan Danai Wellness Spa, menjadikan jumlah keseluruhan rangkaian rakan strategiknya kini 15 rakan kerjasama utama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482530