SIBU, 26 Okt (Bernama) -- Polis meneruskan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di Sibu melalui Op Tapis Narkotik yang dilancarkan awal bulan ini, dengan 132 penagih ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata daripada jumlah itu, satu tangkapan dilakukan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun di sebuah kediaman di Lorong Rejang Park pada Rabu.
Beliau berkata kesalahan di bawah Seksyen 39B boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
“Empat penagih ditangkap di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, manakala 16 penagih di bawah Seksyen 12(3) dan 111 penagih di bawah Seksyen 15(1)(A) ADB 1952. Jumlah keseluruhan tangkapan hingga 24 Okt ialah 132 orang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata daripada jumlah itu 43 orang telah didakwa di Mahkamah Sibu manakala 11 orang lagi masih direman, termasuk suspek di bawah Seksyen 39B ADB 1952 bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, Zulkipli berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu akan terus mempergiatkan tindakan membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan tersebut.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah tampil menyalurkannya melalui hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222 atau hotline JSJN Sarawak di talian 017-5929211.
-- BERNAMA