AM

Tiada Layanan Istimewa Kepada Peminjam MARA - Asyraf Wajdi

26/10/2025 03:11 PM

ALOR SETAR, 26 Okt (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak memberi layanan istimewa atau kelonggaran kepada mana-mana individu dalam urusan bayaran balik pinjaman MARA.

Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pihaknya tidak melihat latar belakang seseorang peminjam dalam urusan bayaran balik pinjaman dan tidak akan melayan surat sokongan daripada mana-mana pihak.

“Semua peminjam dianggap VIP (individu penting). Siapa yang tak bayar hutang itu pun dianggap VIP. Tidak ada istilah VIP tak perlu bayar, bukan VIP perlu bayar, tidak ada.

“Dalam hal ini kita tidak melihat latar belakang mereka (peminjam). Tidak ada lagi ‘surat cinta’ daripada mana-mana pihak untuk memberi kelonggaran soal pembayaran balik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pemerkasaan Wanita Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata MARA telah memperketatkan disiplin kewangannya termasuk mengeluarkan notis kepada peminjam jika bayaran balik hutang tertangguh selama tiga bulan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata laporan mengenai bayaran balik pinjaman juga dibentangkan secara berkala kepada pengurusan MARA bagi memantau prestasi kutipan.

“Setakat ini saya berpuas hati kerana terdapat peningkatan dalam pembayaran balik pinjaman. Mungkin juga kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan orang ramai bahawa setiap sen yang mereka bayar balik ini hakikatnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu orang lain,” katanya.

Beliau turut menyeru peminjam yang mempunyai masalah untuk membuat bayaran balik pinjaman supaya tidak berdiam diri sebaliknya berunding dengan MARA bagi mencari kaedah pembayaran yang sesuai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483402