DUNIA

Gempa Bumi 6.3 Magnitud Landa Nusa Tenggara Timur, Indonesia

27/10/2025 10:28 AM

JAKARTA, 27 Okt (Bernama-Xinhua) -- Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia awal pagi Isnin tanpa berpotensi mencetuskan tsunami, menurut kenyataan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) negara itu, lapor Xinhua.

BMKG dalam laman webnya memaklumkan gempa itu berlaku pada 4.28 pagi waktu Jakarta dengan pusat gempa terletak 82 kilometer (km) ke barat laut Kabupaten Timor Tengah Utara pada kedalaman 75km.

Koordinat pusat gempa direkodkan pada latitud 9.06 darjah selatan dan longitud 123.97 darjah timur.

“Gegaran dirasai penduduk di sini namun tidak mencetuskan panik. Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau korban jiwa. Kami terus memantau sebarang potensi risiko,” kata Ketua Unit Kecemasan Agensi Pengurusan Bencana Nusa Tenggara Timur, Gasper Losa Manisa.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483714