GAYA HIDUP

Tahap Kesedaran Hak Cipta Masih Rendah Dalam Industri Muzik Tempatan

29/10/2025 01:13 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan penggiat muzik akan kepentingan perlindungan hak cipta dikenal pasti sebagai punca utama mereka tidak menerima bayaran royalti yang sewajarnya.

Perunding Hak Cipta Rashidah Ridha Sheikh Khalid berkata keadaan itu turut berpunca daripada sikap pemuzik dan pencipta karya yang masih mengambil mudah aspek perundangan serta pengurusan kontrak, mengakibatkan mereka kehilangan hak terhadap karya sendiri.

"Hal ini berlaku banyak kali. Ada pihak mempersoalkan mengapa royalti mereka kecil. Bila semak semula, dia tidak tandatangan kontrak pun. Lepas itu baru sedar natijah ambil mudah soal pengurusan kontrak yang sebenarnya boleh dielakkan. Itu tanggungjawab kalian untuk urus harta intelek kalian,” katanya ketika ditemui Bernama selepas FrequenSEA: An ASEAN Music Conference, di sini baru-baru ini.

Persidangan bertemakan “The Hidden Economy of Music: Why ASEAN Musicians Deserve More Than Applause” itu diadakan sebagai sebahagian daripada Riuh X ASEAN 2025 anjuran Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia.

Menurutnya, seseorang pengkarya hanya sedar akan isu hak cipta selepas karya mereka digunakan tanpa kebenaran, namun ketika itu sudah terlewat untuk menuntut hak tersebut.

pic-2

“Bila tidak daftarkan hak cipta, orang akan sedap (mudah) ambil karya awak, awak tidak dapat satu sen pun dan ini membuatkan pemuzik itu rasa terkilan bila dengar lagu mereka dimainkan di platform arus perdana. Kalian hanya mampu (cakap) ‘oh, itu lagu saya, saya yang buat!”  Aka tetapi, bagaimana kalian nak buktikan?  Dah tak boleh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata cabaran lain termasuk kesukaran membuktikan pemilikan asal sesebuah karya apabila berlakunya pertikaian, terutama yang melibatkan lirik atau komposisi muzik.

“Banyak yang bergaduh soal lirik, ada yang mendakwa mereka mencipta lagu atau menulis lirik, tetapi nama mereka tidak tercatat dan digantikan dengan nama orang lain. Ini kerana, dalam sesebuah lagu tidak semestinya hanya ada seorang komposer dan seorang penulis lirik.

“Contohnya, Allahyarham P. Ramlee sendiri banyak berkarya bersama-sama dengan S. Sudarmaji dan beberapa rakan lain. Jadi royalti akan dibahagikan mengikut kontrak yang dipersetujui, sebab itu penting untuk ada dokumen atau bukti pemilikan bagi mengelak pertikaian kemudian hari,” katanya.

Rashidah Ridha berkata hak cipta berfungsi sebagai instrumen penting yang membolehkan penggiat industri kreatif memperoleh pendapatan daripada hasil ciptaan mereka dan sistem itu disokong oleh badan pengurusan kolektif (CMO) yang membantu pemuzik mengutip royalti daripada penggunaan karya mereka di pelbagai platform.

Beliau juga menggesa para penggiat agar mengubah persepsi terhadap muzik, daripada melihat karya sebagai sekadar hiburan kepada satu aset ekonomi yang boleh dimonetisasi.

“Kita nak ubah tanggapan lama bahawa muzik tidak boleh jadi kerjaya. Kalau diurus dengan betul, karya boleh menjana pendapatan berterusan. Tapi itu semua bermula dengan satu perkara asas, iaitu kesedaran dan ilmu mengenai hak cipta,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484720