GAYA HIDUP

Filem Malaysia 'Mother Bhumi' Ditayangkan Di Festival Filem Antarabangsa Tokyo

28/10/2025 10:42 AM

Daripada Nurhafizah Tan

TOKYO, 28 Okt (Bernama) -- Filem Mother Bhumi karya pembikin filem Malaysia Chong Keat Aun, ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) ke-38  di sini malam tadi, mengetengahkan budaya negara di pentas dunia.

Tayangan perdana itu berlangsung di Hulic Hall Tokyo, menarik hampir 1,000 pengunjung festival yang teruja ingin menonton filem yang mewakili Malaysia di pertandingan utama tersebut.    

Mengadunkan sejarah, dongeng rakyat dan kepercayaan mistik yang berakar umbi di Kedah, filem itu yang berlatarkan era lewat 1990-an di kawasan pedalaman berhampiran sempadan Thai mengisahkan seorang wanita yang bekerja sebagai pesawah di siang hari dan bomoh pada waktu malam. Watak itu dibawakan oleh artis antarabangsa China Datuk Fang Bingbing sebagai wanita tempatan berketurunan Siam. 

Pada sesi soal jawab selepas tayangan, Chong berkata Mother Bhumi sangat dekat dengan dirinya dan kisah itu diinspirasikan daripada zaman kanak-kanak serta latar belakang budaya beliau.  

pic-2

“Saya memilih latar ini kerana saya dilahirkan di Kedah yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thai dan mempunyai sejarah panjang dengan pengaruh Siam dan British yang silih berganti,” katanya.

Pemenang Anugerah Pengarah Baharu Terbaik Golden Horse ke-57 itu turut mendedahkan filem tersebut mengambil inspirasi daripada amalan mistik tradisional di rantau berkenaan yang unik di kawasan tersebut dan menjadi sebahagian daripada warisan budayanya. 

“Kawasan ini sangat istimewa dan unik kerana di sinilah lahirnya ilmu hitam. Dalam bahasa tempatan, amalan itu dipanggil ‘gong-tau’. Sebenarnya, kedua-dua ibu bapa saya dulu ialah perawat sihir. Jadi, sejak kecil lagi saya sangat berminat pada sihir,” jelasnya.

Berkongsi bagaimana beliau bekerjasama dengan Fan Bingbing, Chong berkata artis itu menghubungi penerbitnya serta menzahirkan minat mendalam terhadap projek tersebut.

pic-3

“Beliau hubungi penerbit saya, dan semasa pertemuan kami beliau meluahkan minatnya. Pada awalnya saya teragak-agak kerana jarang bekerja dengan artis terkenal dan sejelita itu. Namun, saya akhirnya bersetuju untuk bekerjasama. Malah, Fan beritahu yang saya boleh ‘burukkan’ wajahnya jika diperlukan berbuat demikian,” kongsi pengarah tersohor itu.

Bintang utama filem Fan Bingbing turut menghadiri tayangan berkenaan, menandakan “kepulangannya” ke TIFF dalam tempoh 15 tahun, sejak memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Buddha Mountain pada 2010.  

“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang hadir pada tayangan perdana filem ini. Saya berasa sangat terharu sebenarnya, berada di atas pentas ini dan mengalu-alukan kedatangan kalian.

“Sudah 15 tahun sejak kali terakhir saya menghadiri TIFF, ketika memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Saya sangat gembira dapat kembali ke sini. Saya aktres China dan seperti yang kalian maklum, filem yang saya bintangi ini dihasilkan oleh pengarah dari Malaysia, dan saya rasa itu satu ikatan yang istimewa,” katanya.

pic-4

Bintang X-Men: Days of Future Past itu juga berkata wataknya dalam Mother Bhumi antara peranan paling berat pernah dimainkannya kerana beliau perlu bertutur dalam empat bahasa selain menyelami sepenuhnya aspek budaya dan spiritual yang menjadi latar filem.

“Saya terpaksa belajar empat bahasa - Melayu, Hokkien, Siam dan Indonesia. Saya menjalani latihan selama tiga bulan bersama-sama dengan pengarah sebelum penggambaran, dan kemudian tinggal di Kedah untuk belajar bersawah. Setiap hari saya digigit ratusan ekor nyamuk,” katanya mengimbau pengalamannya sambil ketawa.

Beliau turut berkongsi kenangan manis bekerja dengan pasukan produksi Malaysia, menggambarkannya sebagai pengalaman indah dan penuh kemesraan seperti sebuah keluarga.

TIFF ke-38 yang berlangsung sejak semalam hingga 5 Nov ini bakal menampilkan 184 tayangan termasuk 15 filem yang bersaing dalam pertandingan utama, dipilih daripada hampir 2,000 penyertaan dari seluruh dunia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484204