KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kehadiran wanita bergelar ibu dalam kehidupan selebriti popular tanah Anuar Zain tidak sekadar melengkapi perjalanan seni dan peribadinya, malah menjadi sumber ketenangan serta penyembuhan jiwa yang tiada tandingannya.
Meskipun pemilik nama Shahrul Anuar Zain, 55, ini amat selesa meluangkan masa bersama-sama ibunya, Robiah Abdul, pelantun lagu Lelaki ini mengakui tidak pernah meluahkan masalah peribadi kepada wanita kesayangannya itu.
Sebaliknya, adik kepada penyanyi popular negara Ziana Zain ini menemukan kedamaian dan kekuatan dalam dirinya untuk melangkah gagah dalam setiap cabaran dihadapi melalui doa dan kasih sayang seorang ibu yang sentiasa menjadi penguat semangat setiap langkah hidup lelaki ini.
pic-2
“Saya biasanya diam saja bila ada masalah, tak pernah cerita pada mak tapi cukup sekadar berada di sekelilingnya. Mak selalu doakan anak-anak setiap hari. Saya rasa tak perlu kita beritahu semua masalah kepada ibu bapa, sebaliknya selesaikanlah apa yang mampu.
“Bila tahu mak doakan kita, hati jadi tenang. Kadang bila mak cakap dia bacakan Yasin, solat hajat untuk anak-anak, saya rasa lega dan puas. Doa mak itu sendiri sudah cukup untuk ‘heal’ jiwa,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Konsert Healing Night 2026, di sini, baru-baru ini.
Selain bersandar pada kekuatan doa seorang ibu, anak kelahiran Merlimau, Melaka ini berkata pelbagai cara juga boleh dilakukan untuk menenangkan jiwa dan cara terbaik adalah kembali kepada agama.
Bagi selebriti yang terkenal dengan imej eksklusif ini, proses terapi penyembuhan diri berasaskan ajaran Islam ialah kembali kepada Tuhan serta dikelilingi sistem sokongan yang positif.
pic-3
"Banyak cara untuk kita ‘healkan’ diri. Yang terbaik, kembali kepada agama, banyak berdoa dan berada bersama-sama keluarga serta rakan yang positif. Kadang-kadang bila kita buntu, pandangan orang sekeliling boleh beri semangat. Yang penting reda dan teruskan hidup,” katanya.
Anuar juga pada masa sama turut menjadikan aktiviti melancong dan mendengar muzik sebagai cara menenangkan fikiran dan menyeimbangkan emosi selepas penat bekerja.
Baginya, dengan melihat alam semula jadi, kepelbagaian seni bina dan budaya sudah cukup memberi ketenangan selain muzik menjadi medium penyembuhan apabila disampaikan dengan keikhlasan serta mesej positif.
pic-4
“Pada saya, setiap lagu mempunyai tafsiran berbeza bergantung pada keadaan emosi seseorang. (Misalnya lagu Bila Resah) Ada peminat berkongsi dengan saya, lagu itu membantu mereka terus kuat ketika melalui kesusahan.
"Walaupun melodinya kedengaran ringan dan ceria, mesejnya sebenarnya tentang ketabahan dan harapan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anuar bakal berkongsi pentas bersama-sama Ella, Dayang Nurfaizah, Lyodra dan Kangen Band menerusi Konsert Healing Night 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 24 Jan depan.
Beliau menyifatkan konsert itu bukan sekadar persembahan muzik tetapi juga ruang untuk menyebarkan tenaga positif kepada masyarakat.
“Ini bukan hanya konsert untuk berseronok, tapi juga membantu orang mencari ketenangan. Ia niat murni, sebab bila seorang mula sembuh yang lain pun akan turut merasai ketenangan itu,” katanya yang teruja dapat beraksi buat kali pertama di Stadium Merdeka.
-- BERNAMA