GAYA HIDUP

Cradle Kembali Dengan Album ‘Hela Nafasku’ Selepas 20 Tahun Menyepi

28/10/2025 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Selepas hampir dua dekad menyepi daripada industri muzik, band rock alternatif Cradle kembali dengan album studio baharu berjudul Hela Nafasku.

Membawa semangat era 90-an yang pernah melonjakkan nama mereka dalam arus muzik grunge tempatan, kumpulan yang ditubuhkan pada 1995 itu tampil dengan barisan baharu bagi merealisasikan impian yang lama tertunda.

Pengasas kumpulan Addy Rasidi berkata penghasilan Hela Nafasku bukan sekadar tanda kebangkitan semula band itu, tetapi kesinambungan legasi karya berjiwa Nusantara yang menjadi identiti Cradle sejak awal penubuhannya.

“Hela Nafasku yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sememangnya satu keraian. Lebih bermakna, album ketiga ini dilancarkan pada tahun ke-30 penubuhan Cradle, ketika penghasilan album penuh dianggap tidak lagi relevan berbanding single.

“Impian untuk menghidupkan semula Cradle lama terpendam apabila saya sibuk dengan projek solo. Kini, tempoh hibernasi telah tamat dan Cradle kembali sebagai legasi untuk generasi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

pic-2

Selain Addy di posisi gitar utama, Cradle kini dianggotai oleh Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (bes) dan Adha Lizam (dram) yang dipilih teliti bagi memastikan roh dan identiti muzik kumpulan itu kekal utuh.

Album itu diterbitkan di bawah label Rasa Karya milik legenda muzik Datuk Ramli Sarip yang turut bertindak sebagai penasihat eksekutif, manakala Addy dan Lisa Ang berperanan sebagai penerbit, pengarah artistik dan penyusun muzik.

Rakaman dibuat di Studio 47, Singapura dan Sonic, Malaysia, dengan 11 lagu baharu termasuk single pertama bertajuk Ayuh! ciptaan Addy dan Eiz.

Cradle sebelum ini meraih perhatian menerusi album sulung Gurindam Keluli (1996) sebelum meledak dengan Ceritera Awan yang memenangi Lagu Terbaik dan Album Terbaik Tahun 2008 di Anugerah Planet Muzik menerusi lagu ‘Ayu’.

Hela Nafasku akan diperkenalkan kepada umum menerusi konsert Cradle Live! di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur pada 14 Nov ini, dengan kehadiran Ramli Sarip sebagai tetamu istimewa.

Tiket berharga RM160 dan RM250 boleh didapati di www.iLassoTickets.com/cradlelive

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484330