EKONOMI

Projek LNG Canada Pacu Kerjasama Tenaga Malaysia-Kanada - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia

31/10/2025 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Projek LNG Canada merupakan penghubung penting dalam memperkukuh kerjasama tenaga antara Malaysia dan Kanada, dengan kedua-dua negara digesa untuk meneroka bidang kerjasama baharu di luar sektor gas asli cecair (LNG).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin berkata projek itu membuktikan keupayaan kedua-dua negara bekerjasama bagi mencapai matlamat tenaga bersama.

“Malaysia dan Kanada sudah pun menjadi rakan dalam sektor tenaga, namun (projek) LNG Canada hanyalah sebahagian kecil daripada potensi yang boleh diteroka antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama yang dikeluarkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Kanada hari ini. 

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kedua Forum Keselamatan Tenaga anjuran Canadian Global Affairs Institute (CGAI) di Ottawa pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shazelina menekankan peluang kerjasama yang boleh diteroka kedua-dua negara dalam tenaga boleh baharu dan tenaga nuklear.

Beliau turut menyentuh mengenai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan peningkatan bahagian tenaga boleh baharu sekurang-kurangnya 70 peratus menjelang 2050. 

"Pastinya ia bukan satu peralihan yang mudah, bagaimanapun, kerajaan Malaysia komited untuk mencapai matlamat ini," katanya kepada hadirin yang terdiri daripada pegawai kerajaan Kanada serta pemain industri tenaga.

Shazelina turut menyeru penggubal dasar Kanada supaya memudah cara pelaburan di negara itu, dengan memetik contoh bahawa pihak berkepentingan dalam LNG Canada telah mengadakan lebih 10,000 pertemuan dengan komuniti Orang Asli (First Nations) sebelum memulakan operasi.

“Ini sesuatu yang wajar diteliti semula oleh kerajaan persekutuan dan wilayah, memandangkan tiada pelabur yang sanggup meluangkan masa dan tenaga sebanyak itu hanya untuk memulakan projek,” katanya.

LNG Canada merupakan projek eksport gas asli cecair pertama di Kanada, hasil usaha sama antara Shell Canada (40 peratus), Petronas Malaysia (25 peratus), Mitsubishi Jepun (15 peratus), China National Petroleum Corporation (15 peratus) dan KOGAS Korea Selatan (10 peratus).

Projek itu dilihat sebagai pemangkin baharu kepada Kanada ketika negara itu berdepan cabaran tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485565