GAYA HIDUP

Filem Azimat Tonjol Keunikan Budaya Sarawak

01/11/2025 12:10 PM

KUCHING, 31 Okt (Bernama) -- Syarikat produksi dari Sarawak Faradale Media-M Sdn Bhd tampil dengan karya seram psikologi berjudul Azimat yang menampilkan barisan pelakon dan kru produksi anak jati Bumi Kenyalang. 

Pengarah filem itu Kay Rezza Karim berkata Azimat menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu Sarawak, Iban dan Inggeris bagi mengekalkan keaslian budaya tempatan, selain menjadikan Kuching sebagai lokasi utama penggambaran.

“Kami ingin menonjolkan Sarawak bukan sahaja sebagai lokasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat penghasilan karya seni berkualiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata karya Azimat mula tercetus sejak 2019 dan mempunyai keunikan tersendiri kerana menggabungkan unsur mistik tempatan dengan konflik emosi manusia yang sarat dengan simbolisme dan mesej kehidupan.

Azimat mengisahkan kepercayaan seorang gadis iaitu Hanna terhadap seutas rantai azimat yang diyakini mampu mengubah nasib malang dirinya selepas berjumpa dengan seorang bomoh Iban. 

“Kami cuba untuk menghasilkan sebuah cerita seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga mencerminkan sisi emosi dan konflik jiwa seseorang yang berada di ambang putus asa,” katanya. 

Kay Rezza berharap Azimat bukan sekadar menghiburkan penonton, tetapi turut menyampaikan mesej tentang harapan, pilihan dan akibat daripada setiap keputusan diambil dalam hidup.

Filem lakonan Dee Dee Aine Peter sebagai Hanna, Heidi Abbyana (Jasmine), Fadzril Afandy (Dr Roger Tiong) dan Rushdi Mornie Daud (Encik Bonsu) akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 Nov. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485983