DUNIA

Pelari Ethiopia Menang Maraton Beijing, Rekod Baharu Penyertaan Bawah 3 Jam

02/11/2025 10:36 PM

BEIJING, 2 Nov (Bernama-Xinhua) -- Lebih 4,700 pelari menamatkan Maraton Beijing 2025 dalam masa kurang tiga jam pada Ahad,  sementara pelari Ethiopia Lemi Berhanu Hayle dan Anchinalu Dessie Genaneh masing-masing menjuarai acara lelaki dan wanita, lapor Xinhua.

Hayle mencatat masa 2 jam, 8 minit dan 10 saat untuk mempertahan gelarannya, lebih seminit lebih pantas berbanding prestasinya tahun lalu.

Rakan senegaranya, Desalegn Girma Debel pula menduduki tempat kedua, diikuti pelari Korea Utara Han Il Ryong di tempat ketiga.

Dalam acara wanita, Genaneh mencatat masa 2 jam, 26 minit dan 8 saat untuk meraih kemenangan, hanya tujuh saat di hadapan pelari Kenya Marion Jepkonga Kibor, manakala pelari Ethiopia Kuftu Tahir Dadiso menamatkan saingan di tempat ketiga.

Menampilkan 32,000 peserta, Maraton Beijing yang merentasi laluan dari Dataran Tiananmen ke Taman Olimpik Beijing memberi lebih banyak peluang kepada pelari untuk membuktikan keupayaan mereka di bandar yang pernah menganjurkan dua temasya Olimpik.

Menurut penganjur, lebih 4,700 pelari menamatkan larian sejauh 42.195 kilometer dalam tempoh tiga jam, sekali gus memecahkan rekod 3,004 pelari yang dicatatkan tahun lalu.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486400