DUNIA

Ratusan Orang Awam Yang Hilang Tempat Tinggal Lari Dari El Fasher Ke Utara Sudan

03/11/2025 10:14 PM

KHARTOUM/ISTANBUL, 3 Nov (Bernama-Anadolu) -- Ratusan orang awam yang kehilangan tempat tinggal, tiba di bandar Al Dabba di Negeri Utara Sudan selepas menempuh perjalanan lebih 1,200 kilometer dari El Fasher di Darfur Utara dalam keadaan yang amat sukar, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media tempatan pada Isnin.

Menurut Sudan News yang memetik sumber tempatan, kira-kira 62,000 orang melarikan diri dari El Fasher selepas Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengambil alih bandar itu pada akhir Oktober. Mereka menuju ke Kurmа, Tawila dan Garni di Darfur Utara, manakala ribuan lagi masih terperangkap dalam perjalanan tanpa pengangkutan atau bantuan.

Laporan itu menyebut beberapa orang awam yang baru tiba berjalan jauh dan menanggung kesusahan yang perit sebelum sampai ke Al Dabba.

Kumpulan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Ahad menyeru RSF dan kumpulan bersenjata sekutunya agar segera membenarkan orang awam meninggalkan bandar El Fasher, memandangkan keadaan di ibu negeri Darfur Utara itu semakin merosot dan penyeksaan terhadap penduduk semakin meningkat.

“Kami menyeru dengan segera kepada RSF dan kumpulan bersenjata sekutu mereka agar tidak mencederakan orang awam dan membenarkan mereka meninggalkan El Fasher,” kata Michel Olivier Lacharite, Ketua Bahagian Kecemasan MSF, dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh pertubuhan itu di platform X.

Beliau turut menggesa negara anggota QUAD iaitu Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir agar menggunakan pengaruh mereka “bagi menghentikan pertumpahan darah” di bandar itu.

Kumpulan itu berkata mereka sedang memantau keadaan dengan teliti dan memberi amaran yang masyarakat antarabangsa tidak boleh mengabaikan krisis kemanusiaan di El Fasher yang semakin meruncing.

Pada 26 Okt, RSF dilaporkan menawan bandar El Fasher dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut pertubuhan tempatan dan antarabangsa, ketika amaran yang serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi Sudan.

Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam peperangan yang gagal diselesaikan melalui pelbagai usaha rundingan serantau dan antarabangsa.

Konflik itu meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang menjadi pelarian serta hilang tempat tinggal, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sumber tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486804