SUKAN

Liga Super: Murray Selamatkan DPMM, Imigresen FC Raih Kemenangan Sulung

03/11/2025 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Dua jaringan Jordan Murray memastikan DPMM FC mengutip satu mata selepas seri 2-2 menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Barakas, hari ini.

Aksi separuh masa pertama berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gagal memecah kebuntuan sehingga tamat babak pertama tanpa sebarang jaringan.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat membuka tirai jaringan menerusi Joseph Esso pada minit ke-54 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-62 hasil penyudah Murray.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila Negeri Sembilan kembali di hadapan menerusi gol Jovan Motika selang tiga minit kemudian.

Murray sekali lagi menjadi penyelamat DPMM apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-81 bagi memastikan skuad kendalian Adrian Pennock itu tidak tewas di laman sendiri serta meraih satu mata berharga.

Di Stadium Bandaraya, Imigresen FC menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini apabila menundukkan Penang FC 1-0.

Kemenangan sulung itu menghadiahkan tiga mata pertama yang amat dinantikan skuad The Mighty Tigers selepas mengharungi lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Terdahulu, perlawanan bermula rancak dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menyerang, namun tiada jaringan dihasilkan pada separuh masa pertama biarpun beberapa percubaan berbahaya dilancarkan ke gawang lawan.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan usaha bagi mencari gol pembukaan dan Penang FC hampir membuka jaringan, namun hantaran Ahmad Irfan Mohd Noor gagal disudahkan kapten pasukan, Stefano Brundo.

Imigresen FC akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-59 menerusi sentuhan penyerang import, Wilmar Jordan Gil, yang menolak masuk bola hasil hantaran Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam.

Skuad Harimau Kumbang yang terdesak mencari gol cuba melakukan serangan dan Brundo hampir memberikan gol penyamaan, namun kecewa apabila jaringan pada minit ke-72 itu dibatalkan pengadil selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan IFC mencatat kemenangan pertama mereka musim ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486409