Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
LANGKAWI, 26 Okt (Bernama) -- Menikmati suasana kampung dengan derit lantai kayu, jendela berwarna dan serambi luas di rumah warisan Melayu berusia hampir seabad sambil mengamati seni ukiran halus, bagai mengimbau kembali nostagia desa yang masih utuh bernafas dalam keindahan tropika permata Kedah ini.
Hanya terletak beberapa minit dari tumpuan pelancong, Pantai Chenang, pengalaman penuh autentik di Temple Tree Resort Langkawi ini menjadi nadi kepada warisan seni bina lama yang dihidupkan kembali sebagai penginapan mewah yang sarat dengan nilai sejarah.
Istimewanya, lapan buah rumah warisan berusia antara 80 hingga 120 tahun yang ditempatkan di sini bukanlah replika semata-mata sebaliknya rumah asal yang dipindahkan dengan teliti dari pelbagai negeri di Semenanjung sebelum dipulihara dan dirangkaikan semula di pulau legenda ini.
pic-2
Teruja menjelaskan lebih lanjut akan konsep khazanah warisan ini kepada Bernama, pengurus Temple Tree Resort Irene Vairo berkata penginapan percutian ini menempatkan lapan rumah kayu warisan dari negeri seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Sembilan, menjadikannya tarikan unik bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman autentik.
“Bagi memastikan keunikan seni bina rumah warisan ini masih terus mengekalkan keaslian, setiap rumah dipindahkan dan disusun semula satu persatu dengan teliti bagi memastikan setiap tanggam, urat kayu serta bentuk asalnya kekal utuh seperti asal,” katanya.
pic-3
Di pintu masuk, terdapat bangunan indah yang digelar Ipoh House yang berusia 120 tahun berfungsi sebagai ruang penerimaan tetamu selain menempatkan Paloh Restaurant & Bar.
“Johor House dari Batu Pahat pula memikat dengan fasad merah jambu yang berani, dipadankan sentuhan reka bentuk Taiwan yang menyerlahkan karakter asal rumah ladang Cina, menjadikannya antara kediaman paling unik di sini.
pic-4
“Colonial House dari George Town pula menampilkan ukiran serta bentuk simetri yang membawa identiti pengaruh Timur dan Barat hasil sentuhan tukang emas Arab pada 1920-an, menjadikannya simbol seni kolonial yang elegan,” katanya.
Sementara Estate House dari Ipoh pula, Irene berkata rumah warisan itu mengekalkan seni bentuk memanjang rumah pekerja ladang awal abad ke-20 dengan lantai terracotta dan rangka kayu tebal sebagai nadi struktur manakala Plantation House mempamerkan kehalusan seni bina artisan Melayu dua tingkat.
pic-5
Selain itu, Irene berkata Penang House pula mencerminkan perjalanan seni bina sepanjang 131 tahun pengaruh British, hadir dengan gabungan elemen tempatan, Cina, India dan Islam yang mencorak keunikan seni rupa bentuknya.
“Negeri Sembilan House turut menonjol dengan tingkap kaca berwarna yang memukau serta serambi hadapan yang luas, mengekalkan aura rumah tradisional, sarat nilai budaya sambil memberi keselesaan gaya suite moden. Bangunan kolonial yang dibina pada 1920-an oleh sebuah keluarga Eurasia di York Road, Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai Bahagia, kini menjadi Straits House tampil dengan tarikan ruang lapang berona cerah, lengkap dengan kolam renang peribadi dan bilik mandi en-suit,” jelasnya.
Beliau berkata setiap rumah mempunyai kisah tersendiri termasuk pernah menjadi kediaman keluarga bangsawan serta keluarga nelayan sebelum diberi kehidupan baharu dalam suasana lebih segar di pulau ini.
pic-6
Menurutnya, pemulihan yang dilakukan bertujuan menghidupkan semula 'roh' setiap rumah agar tetamu dapat merasai ketenangan dan warisan seni bina yang tersimpan dalam setiap struktur kayu tersebut.
"Lantai kayu yang berderit setiap kali dipijak tidak dianggap usang. Bunyi itu menjadi irama masa yang mengingatkan tetamu kepada kehidupan sederhana dahulu yang menemukan kecantikan dalam ketenangan.
"Pemeliharaan rumah-rumah ini memperlihatkan penghargaan terhadap warisan seni bina yang semakin sukar ditemukan dalam arus pembangunan moden," katanya, walaupun struktur asalnya dipelihara dengan penuh teliti, setiap rumah menyediakan keselesaan kontemporari termasuk katil empuk, pendingin hawa serta Wi-Fi, sekali gus memastikan gabungan masa lalu dan moden yang serasi.
pic-7
Dalam pada itu, suasana nostalgia itu turut dilengkapi dengan kehadiran kucing-kucing comel yang menjadi penghuni setia kediaman bersejarah ini, seolah menyempurnakan landskap damai yang menghubungkan warisan lalu dengan kehidupan hari ini.
-- BERNAMA