AM

Malaysia Rekod 9.03 Juta Kanak-kanak Bawah 18 Tahun Pada 2025

03/11/2025 05:15 PM

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Malaysia kini mencatat 9.03 juta kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun, mewakili 26.4 peratus jumlah penduduk seramai 34.23 juta, menurut Statistik Kanak-Kanak 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah itu, seramai 4.66 juta adalah kanak-kanak lelaki manakala 4.37 juta adalah kanak-kanak perempuan, dengan 2.31 juta kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

"Putrajaya mencatat peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah 18 tahun iaitu 39.9 peratus diikuti Kelantan (33.5) dan Terengganu (32.9). 

"Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kanak-kanak iaitu 1.81 juta orang manakala Labuan mencatat jumlah terendah iaitu 0.03 juta," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dari segi kesihatan, liputan imunisasi bayi menyaksikan penurunan pada 2024 bagi kesemua lima jenis imunisasi utama iaitu Polio, Difteria, Pertusis (batuk kokol) dan Tetanus (DTP), Haemofilus Influenza Type B (HIB) serta Hepatitis B masing-masing menurun sebanyak 6.1 mata peratus manakala Bacillus Calmette-Guérin (BCG) menyaksikan penurunan sebanyak 0.3 mata peratus.

Mohd Uzir berkata jumlah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar meningkat sebanyak 1.4 peratus, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 3,198 pada 2024. 

"Johor mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 29.4 peratus manakala Putrajaya merekodkan penurunan terbesar iaitu 21.0 peratus. 

"Pendaftaran murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan merosot sebanyak 0.2 peratus, dengan penurunan 3.0 peratus di peringkat menengah atas manakala pendaftaran di sekolah swasta juga menyaksikan penurunan sebanyak 0.3 peratus terutamanya disebabkan kemerosotan 3.4 peratus dalam pendaftaran prasekolah," katanya.

Beliau berkata bilangan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan meningkat sebanyak 12.7 peratus, menjadikan jumlahnya 9,624 kes pada 2024.

Kanak-kanak perempuan mencatat 6,031 kes manakala kanak-kanak lelaki menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 15.2 peratus berbanding 11.3 peratus bagi kanak-kanak perempuan.

Mohd Uzir berkata bilangan kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah pula menyaksikan penurunan sebanyak 4.2 peratus kepada 2,627 kes. 

"Kanak-kanak Bumiputera membentuk kumpulan majoriti iaitu 82.2 peratus diikuti Cina (9.0 peratus), India (4.9) dan lain-lain (4.1).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486630