KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengadakan pertemuan bersama wakil pengendali Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) dan diberikan taklimat ringkas serta maklum balas tentang pelaksanaan sistem itu.
Saifuddin Nasution menerusi hantaran di Facebook memaklumkan untuk fasa awal pelaksanaan APSS, sebanyak 10 syarikat penerbangan terlibat bagi menguji keberkesanan sistem saringan awal penumpang sebelum ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara.
“Usaha ini sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkukuh kawalan sempadan melalui penggunaan teknologi yang lebih pintar dan proaktif demi keselamatan serta kedaulatan negara selari dengan standard antarabangsa,” katanya.
APSS yang baharu memulakan fasa pertama pada 31 Okt lepas, dilaksanakan oleh KDN bertujuan memperkukuh kawalan imigresen dengan menyaring maklumat penumpang sebelum mereka tiba di negara ini.
Ia membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti individu berisiko tinggi secara awal dan mengambil tindakan proaktif untuk mempertingkatkan aspek keselamatan negara.
Media sebelum ini melaporkan pelaksanaan APSS untuk fasa pertama ini melibatkan 10 syarikat penerbangan antarabangsa utama, antaranya Malaysia Airlines (MAS), VietJet Air (Vietnam), Emirates (Emiriah Arab Bersatu), Scoot (Singapura) dan US-Bangla Airlines (Bangladesh).
Sistem itu kemudian akan diperluas kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa pada Mac tahun depan dan mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta piawaian keselamatan global termasuk audit keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.
-- BERNAMA