SIBU, 3 Nov (Bernama) -- Projek naik taraf Jalan Pulau Dudong di Sibu kini memasuki peringkat tender, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata rancangan yang telah dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak akhir 2022 itu, menerima kelulusan pada 2023 disusuli penyediaan pelan reka bentuk.
“Projek itu dijangka bermula tahun hadapan dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Saya berterima kasih kepada JKR atas semakan dan kelulusan yang diberikan serta meminta pihak berkuasa berkaitan mempercepat proses pembinaan selepas tender selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiong berkata jalan raya sepanjang 7.5 kilometer itu yang pernah dilanda banjir setinggi 3.34 meter akan dinaikkan ketinggiannya kepada paras minimum 3.88 meter, manakala bahagian yang terletak di kawasan banjir ditinggikan hingga 14 meter.
Projek itu bertujuan menyelesaikan masalah banjir dan mendapan yang telah berlarutan sejak sekian lama sekali gus menambah baik aspek keselamatan dan kesalinghubungan antara Jalan Salim/Jalan Stabau dengan jalan menuju ke Lapangan Terbang Sibu.
Beliau berkata laluan yang dinaik taraf itu akan memanfaatkan lebih 300 penduduk daripada beberapa rumah panjang di sepanjang jajaran berkenaan dengan menyediakan kemudahan perjalanan yang lebih baik, mengurangkan risiko banjir serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Saya berharap projek ini dapat dimulakan segera supaya penduduk boleh menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan selesa,” katanya.
-- BERNAMA