Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
BOGOR, 4 Nov (Bernama) -- Hubungan ekonomi dan pendidikan antara Bogor dan Malaysia dijangka terus berkembang hasil pertemuan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dengan Wali Kota Bogor, Dedie A. Rachim pada Isnin.
Dalam kunjungan hormat di pejabat Dedie di Balai Kota Bogor, kedua-dua pihak membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk eksport produk Bogor ke Malaysia, penglibatan syarikat Malaysia dalam sektor farmaseutikal serta kebajikan pelajar Malaysia di bandar berkenaan.
“Kami berharap pertemuan ini dapat memperluaskan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan dan ekonomi,” kata Syed Mohamad Hasrin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemerintah Kota Bogor atas kerjasama erat dan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar Malaysia di sana.
Bogor terkenal dalam kalangan pelancong kerana iklimnya yang sejuk, keindahan alam semula jadi serta tarikan seperti Istana Bogor iaitu kediaman rasmi presiden, Taman Botani bersejarah dan hidangan tradisional Sunda yang terkenal dengan ulam-ulaman segar serta sambalnya yang pedas.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut mengadakan siri kedua program tahunan “Temu Dubes Malaysia” di IPB University (dahulu nya dikenali sebagai Institut Pertanian Bogor), kira-kira 70 kilometer dari Jakarta.
Majlis yang menghimpunkan 142 pelajar Malaysia bersama barisan kepimpinan, kakitangan akademik dan pelajar Indonesia universiti berkenaan turut dihadiri Timbalan Rektor IPB University, Prof Iskandar Zulkarnaen Siregar.
Syed Mohamad Hasrin berkata program berkenaan berperanan memperkukuh hubungan dengan pelajar Malaysia di samping mempromosikan budaya, makanan serta perkembangan terkini hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.
“Kita gembira kerana IPB telah menjalin kerjasama dengan universiti di Malaysia dan berharap ia dapat diperkukuh lagi melalui penyelidikan bersama, program ijazah berganda serta mobiliti akademik dan pelajar,” katanya.
Beliau turut menasihatkan kira-kira 1,173 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Indonesia, khususnya di Bogor agar menitikberatkan keselamatan diri terutama pada musim hujan lebat, serta segera menghubungi kedutaan jika berdepan sebarang kecemasan.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya menjaga imej dan nama baik negara dengan mematuhi adat resam serta undang-undang tempatan, di samping memanfaatkan peluang berinteraksi dengan pelajar Indonesia untuk memperluas pengalaman dan membina jaringan masa depan.
Pertemuan dan program di Bogor itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan diplomasi rakyat.
Ia diadakan lima hari selepas Syed Mohamad Hasrin mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Prof Brian Yuliarto di Jakarta bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia.
-- BERNAMA